utama

'Nak mati ke, aku bunuh kau sampai mati?'

Oleh Siraj Mohd Zaini

“KAU nak mati ke, aku bunuh kau sampai mati?” Kenyataan berbaur ugutan itu diterima inspektor polis ketika dia dan keluarganya dikepung sekumpulan lelaki dipercayai ahli kongsi gelap di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang semalam.

Dalam kejadian 4.45 petang itu, dia bersama isteri, anak berusia dua tahun, anak saudara dan ibu mentua sedang makan di gerai di kompleks berkenaan.

Sumber berkata, mangsa tiba-tiba dikepung kira-kira 10 lelaki yang turut membawa senjata tajam seperti pisau lipat, kerambit dan besi buku lima..

“Mangsa ketika itu sedang memangku anaknya, terkejut apabila dikepung begitu dengan kumpulan berkenaan mengugut dengan pelbagai kata-kata kesat.

“Antaranya, ‘aku tembak kau bagi mati baru kau tahu’, ‘kau tengok nanti, mesti aku tetak kau’, ‘ini Klang aku pegang’, ‘aku akan pastikan kau kena buang kerja polis’,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurut sumber itu lagi, kejadian disaksikan kira-kira 50 orang awam dan peniaga di sekitar kompleks.

“Ahli keluarga mangsa mengalami ketakutan dan trauma, manakala anaknya menangis ketika kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli mengesahkan menerima laporan polis dibuat mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Mangsa tidak disentuh atau dicederakan dan siasatan awal mendapati berlaku ada berlaku perselisihan faham antara mangsa dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Beliau berkata, lelaki berusia 38 tahun ditahan untuk membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: September 9, 2019 @ 3:40pm
d