utama

Lelaki 'ajar' wanita Love Scam

Oleh Alias Abd Rani

“SAYA nak beritahu, kalau nak tipu, jangan call (hubungi) pakai handphone (telefon bimbit). Kalau nak tipu pun pakailah nombor pejabat.

“Lagi satu, jangan call waktu lunch (makan tengah hari), mahkamah tak akan buat kerja waktu lunch,” demikian sindiran pengurus sebuah syarikat ketika cuba diperdaya wanita dipercayai sindiket Love Scam.

Zukernain Wook, 43, menerima panggilan daripada seorang wanita Rabu lalu, yang mendakwa dia memiliki tuntutan di mahkamah serta terdapat kes yang perlu diuruskan segera.

Anaknya, Nurul Nabihah Zukernain, 18, memberitahu bapanya berpura-pura ketika menjawab panggilan wanita terbabit sambil bertanyakan bagaimana cara untuk menyemak kes yang didakwa itu.

Katanya, wanita itu kemudian meminta nombor kad pengenalan dan bapanya menuruti arahan sebelum diarahkan supaya menunggu seketika di talian.

“Bapa sekali lagi bertanyakan wanita itu nama siapa berdasarkan nombor kad pengenalan yang diberikan namun dia menjawab tidak dapat beritahu dengan lebih lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Perbualan berlanjutan dan wanita itu memberitahu jika bapanya mahu menyemak dengan lebih lanjut, pihaknya akan menghantar surat kepadanya.

“Bapa sudah tahu siapa wanita itu dan sebab itulah dia layan. Sebelum itu, dia memberitahu membuat panggilan dari Perlis,” katanya.

Pada penghujung perbualan, Zukernain kemudian ‘mengajar’ menyebabkan wanita itu bertindak memutus perbualan.

Susulan itu, Nurul Nabihah memuat naik video berdurasi 1.09 minit dan ditonton 401,000 orang di Twitternya.

Video berkenaan turut mendapat reaksi malah tidak kurang yang ketawa melihat gelagat bapanya ketika menjawab panggilan.

Antaranya: “@mhmdizwan_, Hahahaha good job yr dad kenakan balik scammer tu, @MauKerjaMY, korang selalu kena kacau dengan scammer tak? Nah, ni idea macam mana korang boleh kenakan scammer tu balik. Kalau menjadi, bolehlah share dengan admin kat sini!

“@_piranhaaaaa_, Scammer ni macam takde cara lain nak kenakan orang , sama je dari dulu .. Dah banyak kali dapat call , so dah masak laa dengan cara korang tu . Kahh ! Memang aku kenakan balik je...”

Katanya, wanita terbabit mungkin kecewa kerana tersilap orang menyebabkan dia terus mematikan talian.

Disiarkan pada: September 9, 2019 @ 9:00pm
d