utama

Tak sangka dibalas Raja Permaisuri Agong [VIDEO]

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

“KALAU betul dapat jemputan dari Istana, itu rezeki anak-anak," kata penyanyi dan komposer, Shah Indrawan Ismail, 35, atau Tomok.

Ia susulan video ucapan dan nyanyian lagu Hari Jadi daripada anaknya, Arrian Akid, 8, dan Andrashah Iman, 5, bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang dimuat naik ke Twitter oleh isteri Tomok, Rahayu Abbas.

Lebih manis, video ucapan itu mendapat perhatian Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang menganggap mereka sebagai 'comel' di Twitter rasmi baginda, @cheminahsayang.

Malah, melalui media sosial sama, Tuanku Azizah perkenan menjemput anak penyanyi itu ke Istana Negara untuk bertemu baginda berdua.

Bagaimana pun, vokalis kumpulan New Boyz ini ketika dihubungi Harian Metro, hari ini, mengakui keluarganya belum mendapat jemputan secara rasmi lagi.

“Setakat ini jemputan hanya dari akaun Twitter Tuanku Permaisuri Agong, semalam, itu saja.

“Anak-anak belum tahu lagi mengenai jemputan itu (dari Twitter), dapat jemputan rasmi nanti barulah saya beritahu mereka.

“Saya tidak mahu anak-anak menaruh harapan terlalu tinggi, manalah tahu kalau tidak jadi,” kata Tomok lagi.

Bercerita lebih lanjut mengenai video ucapan anak-anak yang mendapat perhatian Istana, Tomok memberitahu isterinya hanya merakam video itu sekadar suka-suka.

“Dia memuat naik video ucapan, sama saja seperti orang lain yang ingin mengucapkan selamat hari lahir kepada YDP Agong di laman sosial, pagi semalam.

“Tak sangka pula ada pengikut yang 'tag' Tuanku Azizah @cheminahsayang di Twitter dan baginda membalasnya,” kata Tomok.

Keterujaan Tomok dan isteri turut dikongsi rakan artis dan peminatnya yang meluahkan kegembiraan mereka di ruangan komen penyanyi itu selepas berkongsi tangkap layar perbualan di Twitter itu di Instagram miliknya, sejak semalam.

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 12:25pm
d