utama

Sikit lagi nak dapat satu mata [METROTV]

Oleh Firdaus Hashim

HARIMAU Malaya hampir mencipta sensasi pada aksi kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 apabila nyaris memalukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) namun tewas 1-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

UAE yang berada di ranking ke-65 dunia terpaksa bangkit daripada ketinggalan selepas Malaysia yang menghuni tangga ke-159 memberi tentangan sengit sepanjang 90 minit.

Tan Cheng Hoe melakukan satu pertukaran dalam kesebelasan utama apabila menggantikan Hadin Azman, yang gagal memperagakan aksi baik ketika menang 3-2 ke atas Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Khamis lalu dengan Mohamadou Sumareh.

Sebaik wisel ditiup pengadil Hiroyuki Kimura dari Jepun, pelawat dikejutkan dengan gol awal menerusi tandukan Syafiq Ahmad yang menyempurnakan hantaran lintang Matthew Davies dari sebelah kanan.

Jaringan minit pertama itu jelas menaikkan semangat pemain negara yang terus mendominasi permainan namun ketumpulan jentera depan sedikit mengecewakan.

UAE yang dibimbing antara jurulatih terbaik dunia, Bert van Marwijk yang mengemudi Belanda muncul naib juara Piala Dunia 2010, dilihat tertekan dengan persembahan pantas pemain tuan rumah.

Syafiq dan Norshahrul Idlan Talaha harus menyalahkan diri sendiri apabila percubaan masing-masing pada minit ke-14 dan 23 gagal menepati sasaran meskipun berpeluang menambah jaringan.

Namun ketika aksi memasuki minit ke-43, benteng negara terperangkap dengan bola hantaran silang Ali Saleh yang meraih gol pertama hasil tandukan Ali Mabkhout memperdayakan ketua pasukan negara Farizal Marlias.

Skuad negara terus mempamerkan aksi bertenaga pada babak kedua dan kemasukan dua tonggak J Partiban dan Syamer Kutty Abba yang menggantikan Norshahrul dan Sumareh berjaya menambah sengat di jentera serangan.

Skuad The Whites yang terdesak mahukan kemenangan turut membuat pertukaran memasukkan pemain terbaik Asia 2016, Omar Abdulrahman dan hasilnya pelawat meraih gol kedua hasil kesilapan benteng yang menyaksikan Mabkhout sekali lagi mencetak namanya selaku penjaring minit ke-75.

Malaysia seharusnya mengikat kedudukan tiga minit kemudian namun rembatan padu Safawi diselamatkan tiang gol ketika Khalid Eisa sudah tertewas.

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 11:01pm
d