utama

Bertemu lepaskan kerinduan

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PENGANJURAN Malam Amal Kembara Seni Naluri bersama Awang BPR di I-Cafe Biker Station, Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini mengembalikan semula nostalgia era muzik 1990-an.

Selain Awang, hadir memeriahkan majlis itu adalah Anuar Slash, Blank Gamma, Linda Eva, Shima, Joey BPR, Rahmat Mega, Soffi Jikan, Man Kidal, penulis lirik, S Amin Shahab; LY dan Baiduri.

Awang berkata, dia menadah kesyukuran kerana program dirancang berjalan lancar dan mempertemukan semula rakan artis yang pernah mewarnai industri muzik tanah air.

“Program ini tidak lain tidak bukan ialah untuk menghargai sahabat dan peminat.

“Selain berhibur, tujuan kami untuk membantu Shima yang dihimpit kesulitan hidup,” katanya kepada RAP.

Melalui jualan meja, katanya, kira-kira 400 rakan artis dan peminat menjayakan program dengan disajikan persembahan nyanyian, cabutan bertuah, makan malam dan jualan produk Bumiputera.

Antara lagu diperdengarkan adalah hasil ciptaan Awang sendiri iaitu Taman Astakona, Segalanya Ku Terima, Umpama Mimpi Dalam Mimpi, Hanya Padamu, Lahar Cinta, Naluri Cinta, Patahnya Sayap Malam, Bahang Asmara, Luka Dilukai, Harum Subur Di Hati dan Dari Sinar Mata.

Pada majlis itu, lagu baharu berjudul You’re My Friend nyanyian penyanyi cilik, Aliesha, Ariesha dan Haziq Firdaus turut dilancarkan.

Awang juga menzahirkan kesyukuran kerana tiga usahawan iaitu Datuk Seri Wan Md Jamal Md Saman, Datuk Abdul Wahab Mohd Mydin dan Datuk Mohd Nasri Abd Rahim mengumumkan bantuan kepadanya serta Shima masing-masing berjumlah RM5,000.

“Bantuan ini bertujuan meringankan beban kerana saya menghidap masalah jantung pada 2017 dan Shima berdepan masalah tulang belakang (slipped disc) sejak 2013.

“Inilah dilema artis era 1990-an yang diketepikan dan kami perlu menganjurkan program sendiri untuk membantu rakan,” katanya.

Program itu menerima kunjungan Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi Zon 24, Zulnizam Shahrani dan Setiausaha Kehormat Zon 24, Adnan Sharif.

Kata Awang, dia menghargai pengunjung Pusat Karaoke Sarwan MD2, Rantau Panjang, Klang yang turut menyampaikan sumbangan kepada Shima.

“Program ini permulaan buat artis 1990-an kerana aktiviti sama akan diadakan di Johor Bahru bagi rakan penyanyi, Aida Agil yang menghidap kelumpuhan muka, November depan,” katanya.

Pemilik nama sebenar Norzaini Mohammad itu berkata, dia sangat berpuas hati apabila dapat mempersembahkan semula lagu yang pernah dihasilkannya.

“Kami bertemu, bertanya khabar dan melepaskan kerinduan. Kami pernah hidup bersama pada era itu (1990-an) dan melalui zaman yang sukar,” katanya.

Dalam pada itu, Shima atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, 50, yang memperdengarkan lagu hit nyanyiannya, Luka Dilukai membuat suasana penuh sebak termasuk ada yang bergenang air mata.

Shima berkata, dia berterima kasih sebaik menerima sumbangan RM5,000 dan ia membuktikan masih ada insan yang prihatin.

“Saya sangat menghargai kerana terus dibantu sepanjang 30 tahun menjadi anak seni,” katanya yang masih berkeupayaan menyanyi tetapi tidak boleh duduk terlalu lama.

Berasal dari Banting, Shima berkata, dia dan Awang sama-sama meniti era 1990-an untuk menghiburkan peminat.

“Kami tak selalunya sihat, tetapi mempunyai matlamat sama iaitu menghiburkan orang sejak muda. Saya amat terharu atas sumbangan dan tidak menyangka kehadiran malam ini (Ahad lalu) begitu ramai,” katanya.

Dia yang kini dibantu Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan menetap di Damansara Damai bersama suami, Abdullah Rusli mahu meneruskan kesinambungan hidup dengan hati yang tenang.

“Buat masa ini, jika ada jemputan (nyanyian) saya akan pergi dan jika tiada, saya akan mendapatkan rawatan di hospital atau berehat di rumah,” katanya.

Disiarkan pada: September 11, 2019 @ 5:25am
d