utama

Sudah temui identiti - Andi Bernadee

Oleh Ardini Sophia Sina

ANTARA peserta awal yang tersingkir dalam sebuah pertandingan realiti tahun lalu, kekecewaan Andi Bernadee akhirnya terubat apabila lagu Satu Peluang membuka laluan lebih luas untuk terus berdiri kukuh di persada seni muzik tanah air.

Kata Andi, lagu itu sepatutnya dinyanyikan di pentas akhir namun tidak kesampaian apabila undian daripada peminat tidak mencukupi untuk terus berada di pentas berkenaan.

Siapa sangka, walaupun Satu Peluang tidak diperkenalkan pada pertandingan itu, ia tetap menarik perhatian umum hinggakan jumlah tontonan video muzik rasmi di YouTube mencecah lebih 18 juta sejak dimuat naik pada 10 Oktober 2018.

“Sebenarnya, lagu ini sudah disediakan lebih awal untuk saya nyanyikan pada pentas akhir pertandingan itu tetapi rezeki hanya setakat minggu kedua. Namun, saya minta pada label untuk tetap mengeluarkan lagu ini.

“Tajuk lagu Satu Peluang ini adalah simbolik untuk diri sendiri yang mengharapkan peluang untuk terus cuba mencari ruang menaikkan nama sebagai penyanyi.

“Alhamdulillah, saya bersyukur lagu ini membuka peluang lebih besar dalam dunia muzik,” katanya.

Awalnya, nama Andi hanya dikenali selepas tular dengan parodi lagu Tak Tun Tuang nyanyian asal penyanyi Indonesia, Upiak Isil. Namun kini, dia boleh berdiri dan popular dengan lagu sendiri.

Walaupun hasrat berada di pentas akhir tidak kesampaian, kemenangan bukanlah segala-galanya baginya. Paling penting adalah usaha dan terus percaya rezeki itu pasti akan tiba.

“Kunci utama bukanlah kemenangan semata-mata tetapi bagaimana kita menyusun strategi supaya mampu berdiri kukuh sebagai penyanyi. Sebenarnya, Satu Peluang dengan konsep reggaeton ini adalah pertaruhan.

“Saya sama sekali tidak sangka lagu ini diterima dengan baik. Sekarang saya sudah jumpa identiti muzik yang sesuai dengan jiwa serta memenuhi permintaan pendengar,” katanya.

Selepas popular dengan Satu Peluang, Andi kemudian tampil dengan Donde pada April lalu. Sehingga kini masih tersemat di hati penggemar muzik, jejaka kelahiran Negeri Di Bawah Bayu ini hanya melancarkan lagu solo pada tahun hadapan.

Bagaimanapun, dalam masa terdekat, Andi akan tampil dengan lagu duet bersama Ismail Izzani yang kini dalam proses suntingan.

Kata Andi, dia memilih Ismail kerana muzik yang dibawakan dekat dengan dirinya.

“Saya memang rancang untuk biarkan lagu Donde ini ‘terbang’ setinggi mana yang boleh. Hanya pada tahun hadapan barulah

saya akan tampil dengan lagu solo baharu dan

masih dengan konsep yang sama.

“Ketika terfikir untuk buat duet, saya tercari-cari mahu kolaborasi dengan siapa. Saya terfikir Ismail sebab muzik yang dia pertaruhkan juga rancak. Persamaan ini membuatkan saya rasa mungkin okey kalau kami buat kerjasama,” katanya.

Turut bekerjasama dengan penyanyi wanita, namun Andi enggan mendedahkannya buat sementara waktu kerana semuanya masih pada peringkat perbincangan.

Andi yang selalu memuat naik video bercakap seorang diri di hadapan kamera mendapat pelbagai reaksi daripada peminat.

Ada yang terhibur namun ada juga menganggap rakaman berkenaan menjengkelkan.

Bagaimanapun, kata Andi, apa yang dikongsikan itu semuanya berdasarkan kiriman diterima menerusi mesej langsung (DM) di Instagram.

Katanya, dia menjadikan mesej berkenaan sebagai isi kandungan video untuk diketengahkan.

“Setiap hari saya dapat banyak kiriman mesej di Instagram. Ada juga antara mereka yang meluahkan perasaan berkongsi kehidupan harian.

“Ada seorang wanita ini yang sudah hampir setahun tidak jemu menghantar mesej tetapi kirimannya hanya sekadar berkongsi kata-kata semangat.

“Daripada kiriman mesej itulah saya dapat idea untuk jadikan pengisian dalam setiap video yang dikongsikan di Instagram. Komen negatif itu perkara biasa. Saya malas layan sangat,” katanya.

Bakal membuat persembahan pada malam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) yang berlangsung pada 22 September ini, Andi terharu peluang diberikan untuk beraksi di pentas berprestij itu.

“Terima kasih atas peluang untuk tampil pada acara gemilang itu. Memang berdebar tetapi pada masa sama teruja kerana dapat memeriahkan sekali gus menghiburkan tetamu yang hadir pada malam itu.

“Mungkin belum rezeki untuk dicalonkan dalam mana-mana kategori apa pun, hadir sebagai penyanyi yang membuat persembahan pun sudah cukup besar maknanya buat saya,” katanya.

Disiarkan pada: September 11, 2019 @ 5:30am
d