utama

Hadir 2 hari saja di sekolah

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

“SEBELUM ini, dua anak saya meninggal dunia kerana penyakit buah pinggang, kini Haris pula terpaksa menanggung derita dan menerima nasib sama,” luah Hazaipah Yusoff, 48.

Hazaipah berkata, anaknya, Mohamad Haris Iqram Ab Rahim, 11, disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD) tahap empat, Februari tahun lalu dan perlu menjalani rawatan dialisis seumur hidup.

Katanya, anaknya orang kurang upaya (OKU) pembelajaran yang juga murid pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Hamzah kerap keluar masuk hospital kerana sesak nafas selain tekanan darah rendah.

“Dalam seminggu, Haris hanya mampu ke sekolah dua hari saja kerana masalah kesihatan dan akan berasa letih selepas menjalani rawatan dialisis.

“Sebelum ini, anak menjalani rawatan dialisis di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) tiga kali seminggu namun Jun lalu dengan bantuan badan bukan kerajaan (NGO), sebuah bilik khas dibina bagi membolehkan Haris menjalani rawatan dialisis Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) di rumah dan segala kelengkapan dibekalkan HRPZ II.

“Melalui kaedah rawatan CAPD, cecair dialisis dibiarkan di dalam rongga peritoneal selama empat hingga enam jam dan dikeluarkan daripada abdomen serta diganti dengan cecair dialisis baru,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gosong, Machang, di sini, baru-baru ini.

Menceritakan semula nasib menimpa anak ke-10 daripada 11 beradik, Hazaipah berkata, sebelum doktor mengesahkan Haris menghidap penyakit buah pinggang kronik, anaknya itu demam dua hari.

Katanya, ketika dia dan suami, Ab Rahim Sha’ari, 57, dalam perjalanan membawa Haris ke klinik, anaknya tidak sedarkan diri dan dirujuk ke Hospital Machang.

“Bimbang dengan keadaan itu, doktor segera memindahkan Haris ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana dia koma selama sembilan hari. Selama lima bulan kami berkampung di HUSM sebelum Haris dibenarkan pulang,” katanya.

Katanya, dia tidak mahu Haris menerima nasib sama seperti dua anaknya, Hafizie, 10, dan Nor Azwa Idayu, 14, masing-masing meninggal dunia pada 1999 serta 2011 disebabkan penyakit buah pinggang.

“Siapalah kami untuk melawan takdir Yang Maha Esa namun saya dan suami perlu reda menerima takdir andai Haris terpaksa menerima nasib seperti arwah abang serta kakaknya. Namun, saya tidak pernah putus berdoa supaya Haris kuat dan tabah untuk melawan sakitnya,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia bekerja dengan syarikat swasta namun terpaksa berhenti kerja kerana sering mengambil cuti untuk menguruskan Haris.

Katanya, suaminya bekerja kampung dengan pendapatan RM400 sebulan dan tidak boleh melakukan kerja berat kerana menghidap penyakit jantung serta batu dalam hempedu.

Namun, anak sulungnya, Nor Amy Zura, 31, yang bekerja sebagai jururawat di sebuah klinik kesihatan di Selangor banyak membantu dari segi kewangan.

“Namun saya perlu berjimat kerana ada tiga lagi anak masih bersekolah berusia antara sembilan hingga 16 tahun. Setiap bulan saya perlu belanja lebih RM500 untuk membeli kelengkapan perubatan Haris selain kos ulang ke hospital.

“Mujurlah Haris mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan yang dapat meringankan beban ditanggung,” katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2019 @ 6:20am
d