utama

Bekas Ketua Pemuda ditahan hina Agong dan Permaisuri

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS menahan bekas Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM), Khalid Ismath kerana dipercayai menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di media sosial.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah ketika dihubungi, hari ini.

“Suspek ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya yang enggan mengulas lanjut butiran berhubung penahanan itu.

Sementara itu, PSM dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan Khalid ditahan di rumahnya di Klang, Selangor oleh tiga anggota dari Bukit Aman jam 10.30 malam tadi.

Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan berkata, telefon bimbit Khalid juga dirampas dalam tangkapan itu.

“Beliau dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan akan direman esok.

“PSM mengutuk penahanan Khalid dan berpendapat penahanan beliau pada waktu malam di rumah adalah satu bentuk itmidasi yang boleh dielakkan.

“Jika perlu, polis boleh meminta beliau hadir ke balai untuk diambil kenyataan di mana Khalid akan memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya.

Katanya, Raja Permaisuri Agong juga sudah menyatakan pendirian mengenai perkara itu dan tidak pernah mengaitkannya dengan sesiapa.

“Khalid sendiri sebelum ini sudah menafikan beliau ‘tweet’ apa-apa terhadap Raja Permaisuri Agong.

“PSM juga berpendirian kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah membuat keputusan sebelum ini untuk memansuhkan Akta Penjajah-Akta Hasutan.

“Justeru, penggunaan akta ini secara berterusan adalah satu pencabulan hak asasi manusia dan harus dihentikan,” katanya.

Menurutnya, PSM meminta Khalid dibebaskan serta-merta dan tindakan polis mahu menahan reman sebelum membuat siasatan adalah satu tindakan bercanggah dengan prosedur Kanun Acara Jenayah.

“Kami berharap Ketua Polis Negara akan memastikan polis tidak menghukum seseorang sewenang-wenangnya,” katanya.

Semalam, Pengarah JSJ Datuk Huzir Mohamed memaklumkan pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian itu.

Susulan itu, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

Terdahulu, media melaporkan Tunku Azizah menyah aktif akaun Twitter rasmi milik Baginda sehingga menjadi tular di media sosial.

Disiarkan pada: September 14, 2019 @ 1:08am
d