utama

'Terbang' 17,000km datang sini

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

MELALUI perjalanan ‘gelap’ sejauh hampir 17,000 kilometer dari habitat asal di hutan Amerika Selatan sebelum sampai ke sempadan negara ini.

Itu antara nasib spesies burung nuri berasal dari Brazil, Bolivia, Peru atau Colombia yang menjadi sasaran aktiviti penyeludupan rangkaian sindiket penyeludupan hidupan liar dilindungi.

Difahamkan setiap ekor burung nuri ini mampu dijual hingga mencecah RM1,000 seekor terutama oleh pemilik kedai menjual haiwan peliharaan.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, semua burung Nuri dari spesies Aratinga diselamatkan anggota polis Kelantan di Rantau Panjang, Kelantan, hasil operasi jam 4.30 petang, kelmarin.

Ini adalah antara kejayaan Op Khazanah Bersepadu selepas dilancarkan di Batalion 3, Pasukan Gerakan Am Bidor, Perak pada 3 September lalu.

“Sebanyak 42 ekor burung Nuri spesies Aratinga ditemui di dalam dua sangkar yang diletakkan di pengkalan haram di tebing Sungai Golok, Kelantan.

“Semua burung itu kemudian diserahkan kepada pejabat Perhilitan Daerah Jeli untuk tindakan lanjut mengikut Jadual Pertama Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (APHL) 2010. Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan berikutan suspek dipercayai sempat melarikan diri,” katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, pihak Perhilitan turut menyerbu sebuah premis di Senawang, Negeri Sembilan semalam, sebelum merampas pelbagai spesies burung dilindungi di lokasi itu.

Hasil pemeriksaan dilakukan menemui sembilan ekor burung serindit yang disimpan tanpa lesen sah.

Kadir berkata, suspek warga tempatan berusia 40-an disoal siasat sebelum semua burung miliknya disita untuk tindakan lanjut.

“Pihak Perhilitan turut melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Seremban, Negeri Sembilan sekitar jam 6.30 petang, kelmarin.

“Hasil pemeriksaan dilakukan menemui seekor anak ungka tangan putih, tiga ekor burung murai batu dan seekor kura-kura,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati semua haiwan liar itu disimpan tanpa permit khas dan lesen menyimpan. Susulan itu semua haiwan itu disita dan dibawa ke Pejabat Perhilitan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: September 14, 2019 @ 6:20am
d