utama

Dua buat khianat [METROTV]

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

DUA pegawai Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Cameron Highlands direman tujuh hari bermula semalam, bagi membantu siasatan penyelewengan pemberian tanah di daerah itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki berkata, turut ditahan seorang ahli perniagaan yang juga orang tengah urusan penyelewengan terbabit.

“Ketiga-tiga suspek berusia 57 tahun hingga 65 tahun itu direman tujuh hari bermula hari ini (semalam).

“SPRM memperoleh kebenaran untuk perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek di Mahkamah Majistret Ipoh yang dikeluarkan Pendaftar, N Mageswari bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009.

“SPRM juga akan memanggil lebih ramai individu untuk siasatan penyelewengan pemberian tanah ini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Azam, penahanan Op Daisy diketuai Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahya dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya.

JIM turut menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) pada operasi berkenaan yang dijalankan di kawasan ladang seluas 121 hektar di Kuala Terla di sini.

Mengulas lanjut, Azam berkata, amalan rasuah dalam kalangan penguat kuasa dan kakitangan jabatan kerajaan di Cameron Highlands dipercayai menjadi punca berlakunya pencerobohan tanah di daerah itu.

“Masih wujud amalan rasuah dalam kalangan penguat kuasa dan kakitangan jabatan kerajaan di daerah itu membabitkan penyelewengan pemberian kawasan tanah.

“Penahanan tiga individu ini dibuat hasil maklumat dan risikan SPRM sejak beberapa hari lalu,” katanya.

Pada masa sama, menurut Azam, walaupun pelbagai usaha melalui operasi bersepadu dijalankan sebelum ini bagi mengatasi masalah penyelewengan tanah dan warga asing di daerah itu namun ia bagaikan tidak berkesudahan kerana wujudnya amalan rasuah.

“SPRM akan terus membongkar sekiranya berlaku amalan rasuah
di daerah ini, sekali gus membanteras pencerobohan tanah yang menyebabkan pelbagai masalah lain,” katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2019 @ 6:40am
d