utama

3 penyamun maut berbalas tembakan

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

TIGA penjenayah dipercayai aktif melakukan samun pecah rumah sekitar Selangor maut selepas berbalas tembakan dengan polis di Kilometer 22 Jalan Rawang menghala Batu Arang, 5 pagi, hari ini.

Penjenayah yang bersenjatakan dua pistol serta tiga parang sebelum itu dikesan pasukan khas Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak yang menjalankan Op Samun Khas.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, penjenayah berkenaan yang menaiki kereta merah dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan perumahan Bandar Country Homes.

Katanya, pasukan khas berkenaan mengarahkan kenderaan itu supaya berhenti, namun mereka ingkar dan menghimpit kenderaan polis.

“Penjenayah kemudian memecut ke Jalan Rawang arah ke Batu Arang sejauh tujuh kilometer sebelum kenderaan dinaiki mereka terbabas ke kiri bahu jalan di satu selekoh.

“Sebaik kenderaan suspek terbabas dan tersekat, pasukan khas yang mengejar kemudian terdengar bunyi beberapa tembakan dilepaskan menyebabkan polis terpaksa membalas tembakan terbabit,” katanya dalam sidang media di IPD Gombak, hari ini.

Beliau berkata, enam tembakan dilepaskan polis sebelum mendapati kesemua suspek terbaring di luar pintu kenderaan dalam keadaan tidak bernyawa.

Katanya, mayat dua penjenayah yang berada di bahagian luar penumpang hadapan dan bahagian luar pemandu masing-masing sedang memegang pistol separa automatik jenis Sport Arms dan pistol automatik jenis Colt manakala penumpang belakang memegang parang.

“Buat masa ini, polis masih sedang mengenal pasti identiti serta pembabitan suspek dalam jenayah berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai di sisi mayat.

“Namun, polis percaya mereka terbabit dalam beberapa siri daripada 60 kes samun di sekitar Rawang, Batu Arang dan Kundang yang dilaporkan sejak Mei hingga kini,” katanya.

Noor Azam berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki suspek adalah kenderaan curi dalam kejadian samun pecah rumah di New Green Park, Rawang, 5 Ogos lalu dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Polis turut menemui tiga topeng muka atau ski mask selain tiga pasang sarung tangan dalam kenderaan suspek.

“Mayat ketiga-tiga penjenayah dibawa ke Hospital Selayang (HS) dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2019 @ 12:47pm
d