utama

Sudah fasa akhir

Oleh Syazwan Msar

KUALA LUMPUR: Kemunculan penyerang naturalisasi bagi menggalas cabaran skuad Harimau Malaya hanya boleh disaksikan penyokong bola sepak tanah air dalam tempoh sembilan bulan lagi apabila jendela pendaftaran pemain untuk pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 dibuka.

Situasi itu menyebabkan skuad Harimau Malaya perlu menggunakan kelompok penyerang sedia ada untuk mengharungi baki enam perlawanan Kumpulan G.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, setakat ini proses dokumentasi membabitkan bekas pemain Kedah, Liridon Krasniqi dan penyerang utama Kuala Lumpur, Guilherme de Paula di peringkat akhir sebelum mereka dibenarkan beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Beliau berkata, urusan berkenaan turut membabitkan dua pemain kacukan, Kobe Chong dan Armin Maier Rafi yang dijangka selesai selewat-lewatnya hujung tahun ini.

“Empat pemain terbabit tidak mempunyai masalah, malah sekarang ini FAM hanya perlu menghantar beberapa dokumen kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk dinilai sebelum mereka dibenarkan bermain.

“Apa yang boleh saya katakan Liridon dan de Paula tidak mungkin bermain dalam aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 kerana pendaftaran pemain sudah ditutup.

“Kelibat mereka boleh disaksikan jika skuad Harimau Malaya layak ke pusingan ketiga pada Jun tahun depan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan skuad Harimau Malaya ketandusan penyerang tulen ketika dua aksi pertama kelayakan itu berdepan Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu.

Malah, penyerang veteran, Norshahrul Idlan Talaha, 33, yang diberikan tanggungjawab menggalas posisi berkenaan gagal memainkan peranan dengan berkesan hingga dihujani kecaman netizen di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Namun, pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe tampil mempertahankan pemain itu sambil menjelaskan corak permainan skuad kebangsaan sekarang berteraskan gaya bola sepak moden yang memerlukan semua pemain berkeupayaan meledak gol.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 5:30am
d