utama

Teliti keperluan

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

KUANTAN: Kerajaan negeri diminta meneliti keperluan mangsa kebakaran di pekan Sungai Lembing di sini, terutama membabitkan rancangan membina semula penempatan mereka.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kerajaan negeri, pihak berkuasa bertanggungjawab dan penduduk perlu berbincang bagi mencari kawasan alternatif membangunkan penempatan baru.

“Saya ucap terima kasih kepada semua terbabit membantu mangsa. Saya bersimpati atas apa yang berlaku dan ada yang kehilangan ahli keluarga.

“Penduduk yang terbabit dalam kejadian ini perlu banyak bersabar,” titah baginda ketika melawat mangsa kebakaran dan menyerahkan sumbangan peribadi di dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Lembing di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Dalam kejadian 31 Ogos lalu, dua warga emas terkorban selepas 32 rumah kedai, rumah kediaman dan perpustakaan terbakar dalam kejadian jam 1.30 pagi.

Dalam pada itu, Al Sultan Abdullah turut meminta pihak berkuasa meneliti beberapa penempatan dan bangunan yang usang untuk didiami.

Baginda bertitah, bangunan yang terlalu lama boleh mengundang bahaya kepada penduduk dan pihak berwajib perlu memberi perhatian sewajarnya.

Terdahulu Al Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli melawat mangsa kebakaran dan tapak kejadian jam 3 petang, semalam.

Baginda berdua meluangkan masa kira-kira sejam sebelum berkenan menyampaikan sumbangan peribadi.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, pihaknya mengambil maklum titah tuanku dan meneliti segala bentuk bantuan yang akan diberikan kepada mangsa.

“Kita ingin dapatkan maklumat lengkap dan terperinci berkaitan mangsa dan keluarga yang terbabit dalam kejadian kebakaran itu. Perkara ini diuruskan setiausaha kerajaan negeri,” katanya.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 5:50am
d