utama

'Rukun negara wadah penyatuan masyarakat'

Bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak. Itu perumpamaan bagi menggambarkan betapa sukarnya memelihara perpaduan di negara ini.

Tugas yang dianggap amat berat buat kerajaan kerana usaha menyantuni semua bangsa, agama, kaum dan etnik di negara ini perlu dilakukan secara teliti dengan mengambil kira kontrak sosial dan Perlembagaan Malaysia serta Rukun Negara.

Sempena Hari Malaysia esok, Kafe Ahad mewawancara Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri DATUK WIRA DR MD FARID MD RAFIK yang menggalas portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.

Ikuti temubual wartawan, MOHD HUSNI MOHD NOOR dan jurufoto, AHMAD IRHAM MOHD NOOR bagi mendekati maksud perpaduan dari sudut pandangan beliau.

Maksud perpaduan negara dan kesejahteraan sosial menurut kaca mata Datuk.

Perpaduan adalah visi atau sasaran utama yang perlu dicapai dan ia memerlukan usaha berterusan.

Kesejahteraan sosial pula membabitkan misi untuk mencapai perpaduan.

Perpaduan dilihat sebagai satu proses dinamik yang mana rakyat pelbagai kaum dan etnik dengan sosiobudaya, agama, adat resam, bahasa dan wilayah berbeza dapat hidup dalam suasana aman damai serta harmoni.

Ia pula berteraskan kepada persefahaman, penghayatan kepada Perlembagaan Persekutuan serta menjadikan Rukun Negara sebagai teras budaya dan gaya hidup.

Berdasarkan sejarah, ada beberapa isu perbalahan kaum yang agak besar dan rumit pernah berlaku dalam negara kita.

Kini, isu seperti ini lebih ketara dalam alam siber. Kita akui wujud konflik atau perselisihan faham berlaku dalam masyarakat kita seperti peristiwa Kampung Medan pada 2001, kes Plaza Low Yat di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan beberapa insiden terpencil lain yang membabitkan kaum.

Bagaimanapun, ia dapat ditangani dan tidak merebak ke tempat lain.

Inilah kekuatan negara kita yang tidak terdapat di tempat lain. Kematangan rakyatnya yang sudah lama hidup bersama dalam suasana dengan latar belakang berbeza membolehkan masyarakat kita kini semakin menerima perbezaan yang membawa kepada perasaan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Bagaimana Datuk melihat perpaduan kaum di Malaysia.

Saya akan terus galas tanggungjawab bagi memastikan perpaduan terus subur di Malaysia dan tiada kepentingan lain yang lebih tinggi.

Hanya dengan perpaduan jitu penduduk sesebuah negara, baru rakyat boleh hidup dalam suasana harmoni dan sejahtera.

Prinsip Rukun Negara sesungguhnya menjadi wadah utama yang akan menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

Kita sudah mencapai kemerdekaan selama 62 tahun dan matang serta mampu bertolak ansur dengan mengutamakan kepentingan juga perpaduan negara.

Dalam pada itu, kita perlu sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama masing-masing.

Perpaduan bermula daripada sanubari kita sendiri. Justeru, semailah semangat penyatupaduan itu dalam keluarga dan komuniti, nescaya ia akan mewujudkan sebuah masyarakat yang bersatu padu dan cintakan negara.

Apa cabaran terbesar dalam usaha untuk mencapai perpaduan negara?

Cabaran paling utama ketika ini adalah membina perpaduan dalam era maklumat di hujung jari.

Hari ini, kita melihat sesiapa saja boleh menyampaikan maklumat, baik sahih atau sebaliknya. Berikutan penggunaan media sosial yang begitu terbuka, ada pihak menggunakan kesempatan ini untuk menimbulkan rasa kurang senang serta mencetuskan api perkauman.

Keadaan ini sudah pasti tidak sihat untuk negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Selain itu, saya juga melihat usaha untuk menerapkan perbezaan antara kaum itu sejak dari kecil dalam kalangan masyarakat kita, sebagai satu lagi cabaran.

Anak perlu dibiasakan dengan pergaulan silang kaum dan budaya. Di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, kami mempunyai Tadika Perpaduan yang memberikan penekanan kepada hal seumpama ini.

Anak diajar dan dibiasakan dengan kepelbagaian kaum dan budaya dalam silibus pembelajaran.

Isu perkauman ini seumpama bom jangka yang boleh meletup bila-bila masa.

Oleh itu, kita harus mendidik masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan sentimen dan mainan segelintir pihak untuk menggugat keharmonian dan perpaduan yang sudah dibina sejak sekian lama.

Pandangan Datuk mengenai konsep ‘Kemakmuran Bersama’.

Kemakmuran bersama adalah usaha menjadikan Malaysia sebagai negara yang terus-menerus membangun secara mampan.

Pembangunan itu pula seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di setiap rangkaian nilai, kelas, kaum dan geografi menjelang 2030.

Perkara ini juga digariskan di bawah Teras 3, Manifesto Pakatan Harapan iaitu merancak pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama.

Rakyat yang bersatu tanpa prasangka dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya adalah asas kepada penyatuan negara.

Sejak kebelakangan ini, ada pihak sengaja membangkit dan mensensasikan isu kaum dan agama.

Nasihat saya, isu kaum dan agama jangan dijadikan modal untuk kepentingan sendiri.

Semua pihak, baik ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat perlu peka terhadap isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

Kebebasan adalah hak semua pihak, namun ia tidak boleh disalah guna ke arah memporak-porandakan keamanan dan kestabilan negara.

Bagi mengatasi masalah ini, saya sarankan supaya kita wujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat melalui pendidikan supaya kita semua mempunyai keazaman, kesanggupan dan kesediaan untuk hidup bersama dengan aman damai.

Ruang juga harus disediakan kepada rakyat untuk berinteraksi secara sihat dan mengemukakan pandangan demi menyumbang ke arah perpaduan dan pembangunan negara.

Saya juga mohon semua pihak baik media arus perdana atau media sosial supaya tidak memberi publisiti kepada kumpulan pelampau yang boleh memecah-belahkan kepercayaan antara kaum.

Di peringkat jabatan, kita sentiasa menggunakan ahli-ahli rukun tetangga sebagai ejen penyatuan di peringkat akar umbi dan bagi menyampaikan maklumat sebenar kepada masyarakat.

Ada kalanya maklumat yang disebar itu tidak benar dan palsu. Jadi, amat penting untuk kita menggunakan jaringan yang besar dalam rukun tetangga bagi mengenal pasti dan menyampaikan maklumat kepada semua pihak.

Umumnya, rakyat mula bangkit dan mempersoalkan kredibiliti dan kemampuan kerajaan dalam menangani pelbagai isu berkaitan perpaduan. Adakah ia baik untuk landskap perpaduan negara?

Tugas memperkasa dan memperkuatkan perpaduan negara sentiasa berterusan dan merupakan tanggungjawab semua pihak.

Semua kementerian dan agensi kerajaan harus meletakkan perpaduan rakyat sebagai agenda utama dalam melaksanakan dasar masyarakat.

Kami di pihak kerajaan akan terus berusaha agar perpaduan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara.

Hari Malaysia akan disambut esok. Apakah harapan Datuk untuk melihat perpaduan lebih kukuh khususnya membabitkan semua kaum di negara ini.

Rakyat Malaysia hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan agama. Dalam hal ini, pentingnya kita menekankan konsep memperkasa komuniti (empowerment community).

Justeru, konsep kejiranan perlu diperkasakan dalam sesebuah komuniti.

Contoh, kewujudan rukun tetangga dan NGO komuniti berjaya mewujudkan platform untuk berinteraksi bagi mengekalkan hubungan baik dan keharmonian masyarakat setempat.

Selain itu, kita harus sentiasa melihat kepelbagaian itu sebagai kekuatan kita, bukannya kelemahan.

Kita harus meraikan perbezaan tetapi pada masa sama, kita perlu cari titik persamaan kerana walau sejauh mana pun kita berbeza, akhirnya kita tetap rakyat Malaysia.

Usah mudah terjerumus kepada perangkap perkauman yang sempit. Jiwa kita harus lebih besar dari itu dan jangan kita berikan negara ini kepada ekstremis kaum dan agama.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 6:00am
d