utama

Mi bandung buat Tuanku... [METROTV]

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

“ADA mi bandung? Nak makan situ,” Itu pertanyaan spontan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebaik kenderaan yang dinaiki baginda melalui sebuah kedai makan di Kuala Kenau, Sungai Lembing, di Kuantan, semalam.

Mendengar jawapan ‘ada’ dari pekerja kedai berkenaan, Tunku Azizah bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kemudiannya terus singgah untuk bersantap di kedai berkenaan.

Terdahulu baginda berdua bersama anakanda, Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Panglima Muda, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah berangkat melawat mangsa kebakaran rumah kedai di pekan Sungai Lembing.

Anak kepada pemilik kedai, Nur Madihah Ahmad Rosdi, 23, berkata, dia pada mulanya hanya mahu memberi lambaian kepada pasangan diraja itu sebaik menyedari kenderaan baginda sedang melepasi kedainya.

Namun, katanya, dia tidak menyangka kenderaan Tunku Azizah kemudiannya berhenti di hadapan kedai dan bertanya sama ada mereka menyediakan hidangan mi bandung.

“Apabila saya kata ada (mi bandung), Tuanku terus bertitah mahu makan di kedai kami, menggeletar juga tangan untuk menyediakan hidangan untuk baginda.

“Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bersantap mi bandung, manakala Tengku Muhammad dan Tengku Ahmad bersantap mi jawa, saya juga turut menjamu baginda durian hasil dari kebun kami sendiri,” katanya kepada Harian Metro.

Nur Madihah memuat naik video di laman sosial Twitter malam tadi dan sehingga kini mendapat 17,400 tanda suka dan 17,500 ulang ciap oleh warganet.

Katanya, dia tidak menyangka ciapannya itu menjadi tular kerana niatnya hanya mahu berkongsi keterujaannya bersua muka dengan pasangan diraja itu.

“Ini adalah kali pertama kedai makan ini menerima kunjungan pelanggan diraja untuk bersantap di sini, sudah pasti saya dan pekerja lain berasa teruja, lebih berbangga apabila Tunku Azizah memuji mi bandung yang dihidangkan sedap.

“Malah sebelum berangkat pulang Tunku Azizah sempat juga bertitah kepada ibu saudara untuk memberinya resipi mi bandung berkenaan,” katanya.

Katanya, sepanjang satu jam Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bersantap di kedainya, baginda berdua kelihatan begitu mesra dan tidak kekok berbual dengan pekerjanya dan pelanggan lain yang turut berada di kedai itu.

Bekas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak ini berkata, kedai milik keluarganya itu sudah beroperasi sejak 20 tahun lalu dan beroperasi dari 9 pagi hingga 6.30 petang.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 4:22pm
d