utama

Dari Kota Marudu ke Muar [METROTV]

Oleh Faliq Lajim

SHAH ALAM: Perkahwinan campur antara kaum menjadi elemen yang membuatkan Malaysia unik sehingga lahirnya masyarakat harmoni.

Meskipun ada perbezaan dan pertembungan daripada segi kepercayaan, adat dan budaya namun ia tidak menghalang pasangan Melayu dari Muar, Johor dan etnik Kadazan Dusun di Sabah ini disatukan.

Pereka grafik, Ali Sidiq Muhamad Mizal, 33, berkata, dia mula bertemu dengan pasangannya yang juga wartawan, Ardini Sophia Sina, 33, (nama asalnya Hellinie) pada 2011 berikutan berkhidmat dalam satu pejabat yang sama.

Menurutnya, ketika itu dia sedia maklum isterinya bukan penganut agama Islam dan berasal dari Sabah yang umumnya berbeza dengan kepercayaannya.

“Masa itu, kami hanya berkawan seperti biasa. Pertemuan demi pertemuan bagi membincangkan hal kerja membuatkan kami menjadi rapat.

“Apabila kami sudah selesa, kami buat keputusan untuk melanjutkan perhubungan kami ke tahap yang lebih serius sebelum memutuskan untuk berkahwin,” katanya.

Ali Siddiq berkata, ketika mula menjejakkan kaki ke kampung isterinya di Kota Marudu, Sabah, dia berada dalam fasa kejutan budaya.

“Budaya, bahasa percakapan termasuk makanan mereka memang sangat berbeza seolah-olah saya berada di negara asing ketika itu.

“Namun ia bukan satu masalah. Bagi saya, perkahwinan campuran itu sangat unik apabila saya melihat sendiri dan merasai sendiri apa itu erti perpaduan kaum.

“Kami saling mempelajari budaya hidup dan adat yang bertentangan daripada kebiasaan harian kami,” katanya.

Sudah berkahwin sejak 2015, pasangan terbabit dikurniakan seorang cahaya mata, Amzar Saifullah yang kini berusia empat tahun.

Sementara itu, Ardini Sophia berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan budaya Melayu berikutan sudah mempelajarinya ketika melanjutkan pelajaran di peringkat universiti di Pulau Pinang.

Malah, katanya, keluarganya juga tidak menghadapi masalah untuk menerima suaminya yang beragama Islam susulan tiga adik beradiknya yang lain turut menganut agama sama.

“Semakin meningkat usia, saya lihat ramai penduduk termasuk rakan-rakan di kampung berkahwin dengan penganut serta bangsa lain.

“Malah, jika dulu hanya surau kecil saja yang ada di kampung saya berikutan penganut Islam hanya boleh dikira dengan jari.

“Sekarang sudah ada masjid yang dibina pada tahun lalu berikutan terdapat pertambahan ahli kariah melalui perkahwinan campuran,” katanya.

Menurutnya, daripada situ, dia melihat bagaimana perkahwinan campuran mampu mengeratkan lagi perpaduan di negara ini.

Disiarkan pada: September 16, 2019 @ 5:50am
d