utama

Saleha pastikan diri relevan

Oleh Ardini Sophia Sina

KERJAYA seni Siti Saleha mula bersinar selepas membintangi drama Nora Elena. Namanya menjadi sebutan, sekali gus mengumpul kelompok peminat tersendiri.

Graf kerjayanya terus meningkat apabila mendapat kepercayaan membintangi banyak telefilem, drama dan filem. Kredibilitinya sebagai pelakon terbukti apabila memenangi beberapa anugerah.

Pada 2013, Saleha diangkat sebagai Pelakon TV Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-27.

Pada 2015, Saleha sekali lagi memenangi trofi Pelakon Filem Wanita Popular pada majlis anugerah sama. Wanita itu turut memenangi anugerah Pasangan Pilihan bersama Shukri Yahaya pada Anugerah DFKL 2017 dan Pelakon Telenovela Terbaik Anugerah Telenovela 2018.

Pun begitu, selepas bergelar isteri kepada Ahmad Lutfi Azhar pada 28 Julai 2017, Saleha memperlahankan rentaknya kerana ingin memberikan keutamaan kepada rumah tangga yang dibina.

“Sebelum kahwin saya sudah puas rasa kerja tanpa cuti panjang. Sepanjang tahun jadual saya padat dan kerja berterusan. Oleh itu, selepas berkahwin saya kurangkan berlakon kerana sebagai isteri, suami menjadi keutamaan.

“Walaupun tidak lagi berlakon sekerap dulu saya masih sibuk. Jika ada masa terluang, saya akan buat kemunculan istimewa atau menerima tawaran sebagai jurucakap. Adakalanya, ia memerlukan saya untuk berada di luar negara,” katanya.

Meski jarang muncul di kaca TV, dia akan memastikan dirinya kekal relevan dalam industri. Malah, memenuhi undangan sesi fotografi antara cara untuk menunjukkan kewujudannya.

“Suami tidak pernah letak sebarang syarat kerana ketika kami bercinta dulu pun saya sudah tahu apa yang dia suka dan tidak. Apatah lagi apabila sudah bergelar isteri, tidak mungkin saya melakukan babak katil lagi.

“Memang persetujuan kami sebelum kahwin bahawa saya akan teruskan karier lakonan tetapi saya haruslah bijak bahagikan masa antara lakonan dan keluarga.

“Satu yang suami saya tidak suka adalah saya jadi wanita lemah. Kalau dulu saya tidak berani bersuara dengan pengarah tetapi saya akan cakap kalau ada babak yang dirasakan tidak perlu. Syukur, setakat ini mereka sangat memahami dan menerima baik permintaan saya,” katanya.

Sambung Saleha lagi, dia dan suami sedang berusaha mendapatkan zuriat dan berharap rezeki itu akan hadir tahun depan. Malah, dia juga sudah bersedia untuk lebih banyak menghabiskan masa di rumah.

“Saya dan suami sibuk dengan kerja. Apa pun, kami harap cepat dikurniakan cahaya mata. Jika doa kami dimakbulkan Ilahi, saya akan perlahankan lagi kerjaya seni.

“Namun, bukan bermakna saya berhenti terus. Saya masih mahu ada dalam industri. Kalau bukan sebagai pelakon pun mungkin berada di belakang tabir sebagai penerbit atau penulis skrip,” katanya.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 5:20am
d