utama

Sorok di tanah tak berpenghuni [METROTV]

Oleh Skuad Khas Harian Metro

KUALA LUMPUR: Gugusan pulau tidak berpenghuni di sepanjang Selat Melaka dan perairan Sabah dipercayai menjadi hentian sementara atau pit stop sindiket penyeludupan migran dari Indonesia dan Filipina sebelum memasuki Malaysia.

Antara pulau yang menjadi pilihan sindiket itu adalah Pulau Udan, Pulau Lalang, Pulau Serimbun dan Pulau Hanyut di Selat Melaka manakala di perairan Johor pula Pulau Lima serta Pulau Banggi (Kudat) dan Turtle Island (Sandakan) di perairan Sabah.

Terdapat 879 pulau di perairan Malaysia dan 535 daripadanya tidak berpenghuni kerana ketiadaan bekalan air.

Sumber memberitahu Skuad Khas Harian Metro, pulau tidak berpenghuni itu dijadikan talian hayat tekong bot membawa migran untuk berlindung daripada cuaca buruk atau mengelak dikesan pihak berkuasa.

Namun, kebiasaannya, sindiket akan membuat penghantaran terus dari Indonesia ke Malaysia kerana jarak kurang sejam perjalanan dari Tanjung Rupat ke pantai Port Dickson yang mengambil masa kira-kira 45 minit.

“Namun, jika ada rondaan pihak berkuasa dan cuaca buruk, mereka akan menjadikan pulau tidak berpenghuni sebagai hentian sementara sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi ditetapkan,” katanya.

Memperincikan dakwaannya, sumber itu berkata, penyeludupan migran dari Dumai atau Rupat, Indonesia menjadikan kawasan pantai di Melaka dan Negeri Sembilan sebagai destinasi pendaratan.

“Pulau Nangka, Pulau Udan, Pulau Lalang, Pulau Serimbun dan Pulau Hanyut di perairan Melaka selalunya dijadikan hentian. Begitu juga di Pulau Lima yang terletak di Johor.

“Di Sabah, Pulau Banggi dan Turtle Island turut dijadikan transit, paling lama dua hari,” katanya.

Katanya, selain Dumai, Pulau Batam, Pulau Bintan dan Tanjung Pinang adalah lokasi pengumpulan migran sebelum diseludup ke Malaysia.

“Sindiket selalunya akan melakukan penghantaran di perairan Johor seperti Bandar Penawar, Pengerang dan Sungai Rengit. Ada juga penghantaran dilakukan ke Hutan Melintang, Perak,” katanya.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 6:10am
d