utama

Adinda Sultan Kelantan lapor polis

Oleh Muhamaad Razis Ismail

ADINDA Sultan Kelantan, Tengku Amalin Aishah Puteri Sultan Ismail Petra membuat laporan polis selepas mendakwa difitnah di Facebook (FB) baru-baru ini.

Laporan itu dibuat terhadap seorang pemilik akaun FB yang menggunakan nama Shaiful Afzan dengan mendakwa Tengku Amalin adalah anak angkat kepada Sultan Ismail Petra.

Peguam Majdah Muhamad yang mewakili Tengku Amalin berkata, Tengku Ramizan Tengku Abdul Aziz yang juga sepupu Tengku Amalin membaca komen fitnah itu di FB Info Rakyat Dalam Kelantan Version 02 selepas diberikan rakannya melalui aplikasi WhatsApp.

“Seorang individu menggunakan nama Mekliss Nor Liss membuat hantaran di FB itu bertanya adakah Tengku Amalin anak angkat.

“Kemudian seorang pengguna FB menggunakan nama Shaiful Afzan memberi komen pada hantaran itu dengan menyatakan Tengku Amalin adalah anak angkat berasal dari kampung.

“Hantaran dan komen itu tersebar di FB terbabit yang memiliki pengikut ramai dan ini adalah fitnah terbesar.

“Sehubungan itu, Tengku Ramizan mewakili Tengku Amalin membuat laporan polis untuk tindakan lanjut diambil,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu hari ini.

Menurutnya, laporan polis itu dibuat sebagai pengajaran kepada orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membuat fitnah terutama di media sosial.

“Untuk selanjutnya, kita serahkan kepada polis untuk siasatan dan kita juga akan mengambil tindakan saman sivil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 5:48pm
d