utama

'Selamat tinggal Aqil sayang...'

Oleh Alias Abd Rani

GAMBAR suami isteri tidur bersebelahan jenazah anak sudah cukup menggambarkan kasih sayang mereka terhadap insan tersayang selepas kanak-kanak terbabit meninggal dunia akibat lemas di kolam renang di hotel di Melaka, Sabtu lalu.

Siti Juliana Mhd Halil, 33, dan suami, Hamidi Zen, 37, meluangkan masa untuk tidur bersama jenazah anaknya, Muhammad Aqil Hamiki, 5, buat kali terakhir sebelum anak bongsunya itu dikebumikan di Durian Tunggal pada keesokan hari.

Menceritakan kisah sedih itu, adik kepada Siti Juliana, Siti Azlina berkata, kakak dan abang ipar tidur di sisi arwah pada 3.30 pagi sehingga Subuh sementara menunggu jenazah dikebumikan.

Menurutnya, arwah disahkan meninggal dunia pada 12.30 tengah malam Ahad selepas beberapa jam dimasukkan ke hospital akibat tidak sedarkan diri sebaik ditemui terapung dalam kolam renang terbabit.

“Biasanya arwah tidur bersama ibu bapanya dan hari terbabit adalah hari terakhir bagi arwah sebelum dia pergi selama-lamanya.

“Terlalu sukar bagi kami menceritakan situasi pada waktu itu kerana ahli keluarga lain turut sama tidur di sisi arwah.

“Enam tahun kakak menunggu untuk mendapatkannya, namun Allah SWT lebih menyayanginya dan hanya meminjam Aqil untuk lima tahun.

“Pada 29 September ini, arwah genap lima tahun dan pada tarikh berkenaan, kami pasti mengingatinya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Kejadian berlaku sekitar 11.30 pagi Sabtu lalu ketika arwah bersama ahli keluarga mandi dalam kolam di hotel penginapan selepas mereka datang menziarahi datuknya, Mhd Halil Lasimin, 70, yang menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta.

Bagaimanapun, jasad arwah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri, selain muka dan bibir kebiruan.

Pasukan penyelamat hotel terbabit cuba memberi bantuan pernafasan sebelum arwah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Pelbagai usaha dilakukan pasukan perubatan untuk menyelamatkan arwah, tapi malangnya, dia disahkan meninggal dunia pada tengah malam Ahad.

Siti Azlina berkata, beberapa hari sebelum kejadian, arwah menunjukkan kelainan antaranya sering memberitahu dia mahu ke syurga.

“Bukan itu sahaja, arwah tidur atas perut ibunya dan dia tidak pernah bertindak sedemikian sebelum ini.

“Pada hari kejadian arwah sempat menziarahi datuknya sebelum pulang ke hotel bersama bapanya.

“Kami sepatutnya menginap di hotel terbabit dua malam kerana datuk arwah menerima rawatan. Secara kebetulan, hotel itu berdekatan dengan hospital jadi kami mendaftar masuk di situ,” katanya.

Menurutnya, sebaik mendapat tahu arwah lemas, dia berlari sambil menjerit nama ‘Aqil...Aqil...” dan melihat tubuh anak saudaranya itu dalam keadaan kaku.

Pada ketika itu, ibu bapa arwah, Siti Azlina serta ahli keluarga hanya mampu menangis dan mereka berdoa semoga ada keajaiban pada hari terbabit.

“Kolam di hotel itu tidak seperti di tempat lain apabila kita boleh melihat kelibat seseorang jika berada di dasar. Tapi di sini, tidak sama sekali dan mungkin disebabkan dasar kolam itu warnanya agak gelap.

“Sebab itulah pada hari kejadian, ramai tidak menyedari hinggalah arwah ditemui,” katanya.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 9:30pm
d