utama

Suami cerai Lufya menerusi WhatsApp

Oleh Sudirman Mohd Tahir

“TAHUN ini saja sudah beberapa kali dia minta cerai. Kali terakhir pada minggu lalu menerusi aplikasi WhatsApp. Bagi memenuhi permintaannya, saya ceraikan dia menerusi WhatsApp,” kata bekas suami penyanyi dan pelakon, Lufya Omar iaitu Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum.

Bagaimanapun, Che Muhammad Hafiz, 29, enggan berkongsi lanjut punca Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 34, memohon cerai.

Katanya, dia dan Lufya sudah tidak tinggal sebumbung sejak lebih tiga bulan lalu.

“Sebenarnya, beberapa bulan lalu memang rumah tangga kami sudah bermasalah. Sejak itu juga, dia sudah mula minta cerai.

“Apabila dia memohon sekali lagi supaya diceraikan pada minggu lalu, saya pun tunaikan permintaannya itu.

“Apa punca, ia terlalu peribadi untuk saya kongsi. Biarlah antara kami saja yang tahu. Proses selanjutnya biar kami selesaikan,” katanya kepada Harian Metro.

Che Muhammad Hafiz berkata, buat masa sekarang, anak mereka Laana Haura di bawah jagaan Lufya.

“Saya takkan pisahkan anak dengan ibunya. Saya tetap bapa kepada anak kami, jadi masih menjadi tanggungjawab saya.

“Kepada warganet, saya mohon doa yang baik-baik saja supaya kami dapat menyelesaikan perkara ini dengan baik,” katanya.

Terdahulu, Lufya menerusi dua status di Instagram mendedahkan kemelut yang melanda rumah tangganya.

Pasangan itu berkahwin pada 26 November 2016 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Laana Haura yang kini berusia dua tahun.

Berita berkaitan

Tekanan sekarang dah melampaui kemampuan - Lufya>

Sukarnya nak jadi isteri solehah>

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 10:50pm
d