utama

Tahu melalui Facebook

Oleh Zuhainy Zulkiffli

WARIS kesal tidak dimaklumkan mengenai penutupan sekolah di daerah Barat Daya selepas Indeks Pencemaran Udara (IPU) melepasi paras tidak sihat.

Sebanyak 51 sekolah di daerah berkenaan diarah tutup kira-kira jam 7.20 pagi semalam.

Waris yang mahu dikenali sebagai Wan, 50-an berkata, anaknya murid tahun dua di Sekolah Kebangsaan Bukit Genting dihantar seperti biasa menaiki van sekolah.

Hanya pada jam 8 pagi, dia mendapat tahu mengenai arahan penutupan itu menerusi laman sosial Facebook.

“Saya telefon pihak sekolah dan mereka mengesahkan berita penutupan.

“Saya juga diminta mengambil anak di sekolah.

“Berikutan ada urusan di Bayan Baru, saya meminta pemandu van sekolah berpatah balik mengambil anak saya dan murid lain yang menaiki van terbabit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Wan, menerusi panggilan telefon dengan pihak sekolah, dia dimaklumkan situasi di sekolah agak kelam-kabut berikutan arahan terbabit.

Walaupun kesal dengan tindakan itu, dia berharap semua sekolah dapat belajar sesuatu daripada pengalaman berkenaan.

“Saya sedar ia situasi kecemasan serta pertama kali berlaku, namun kecekapan pihak sekolah mengawal pintu masuk dan urusan pengambilan murid wajar dipuji.

“Justeru, saya berharap bagi kes kecemasan seumpamanya, pihak sekolah perlu memaklumkan kepada ibu bapa terlebih dulu demi keselamatan mereka,” katanya.

Penutupan sekolah turut dilakukan di 111 sekolah sekitar Timur Laut pada jam 12 tengah hari menerusi arahan dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) kira-kira jam 10.30 pagi.

Sehingga jam 2 petang semalam, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) melaporkan IPU di Balik Pulau (261) dan Minden (299).

Manakala di Seberang Perai pula menunjukkan bacaan 189 dan Seberang Jaya (182).

Disiarkan pada: September 19, 2019 @ 6:15am
d