utama

Uniknya 'air tangan' pelajar istimewa

Oleh Redzuan Muharam

“SAYA kagum dengan hasilnya dan makanan itu jadi lebih istimewa kerana disediakan pelajar saya yang juga anak istimewa,” kata Nor Zaliza Idris.

Nor Zaliza, 30, adalah guru masakan Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putra, Langkawi, Kedah yang mengetuai projek menyediakan roti jala Jalur Gemilang sempena bulan ambang merdeka dan sambutan Hari Malaysia.

Beliau berkata, roti jala bersaiz gergasi itu dihasilkan lima pelajar lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran.

Katanya, projek itu antara usahanya untuk memupuk kesedaran pelajar terbabit dan mengajak mereka menzahirkan rasa cinta terhadap negara melalui aktiviti masakan.

“Sempena bulan ambang merdeka, guru Penolong Kanan sekolah, Zalila Ramli mencadangkan setiap guru melaksanakan satu projek bersama pelajar masing-masing.

“Bagi tujuan itu, saya cuba cari kelainan dan idea menghasilkan roti jala Jalur Gemilang tercetus selepas melihat belum ada melakukannya.

“Mengikut perancangan, projek itu dilaksanakan sebelum Hari Kebangsaan tetapi ditunda sehingga 11 September lalu disebabkan masalah tertentu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Nor Zaliza berkata, meskipun projek itu membabitkan anak istimewa, semua yang dirancang berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Katanya, pelajar terbabit memberi kerjasama baik dan boleh mengikut arahan tanpa perlu dibantu sepanjang masa.

“Saya hanya menunjukkan demonstrasi kepada pelajar dan mereka yang menyediakannya dari awal hingga akhir termasuklah menyusun 256 roti jala itu hingga menjadi bentuk Jalur Gemilang.

“Tak sangka mereka dapat melakukannya dan sebagai guru, saya terharu melihat kesungguhan pelajar terbabit yang sanggup berdiri sepanjang lima jam menyediakan roti jala berkenaan.

“Mereka mungkin tidak dapat meluahkan rasa sayang dan cinta kepada negara menerusi tutur kata, tetapi mampu menzahirkannya dengan perbuatan,” katanya.

Disiarkan pada: September 19, 2019 @ 9:07pm
d