utama

'Tolong pulangkan beg, dompet kami'

Oleh Alias Abd Rani

“SAYA merayu sesiapa menjumpai beg tangan milik isteri dan dompet arwah anak supaya pulangkan kepada kami,” rayu Rizalmi Romali, 40, susulan kehilangan barangan terbabit selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2), Jumaat lalu.

Kemalangan berlaku pada 4 pagi di Kilometer 294.7, berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Kijal itu meragut nyawa anak lelakinya, Danish Haikal, 14.

Sebelum kemalangan, mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju kampung halaman di Kuala Terengganu untuk bercuti sempena Hari Malaysia.

Bagaimanapun, kehilangan beg tangan isteri serta dompet arwah Danish hanya disedari lima hari kemudian sebaik isterinya, Jaslina Abdullah, 40, sedar sepenuhnya selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Rizalmi berkata, pada mulanya dia menyangka barangan terbabit ada bersama isterinya sehingga wanita itu bertanyakan mengenainya, Selasa lalu.

“Apabila isteri sedar dan bertanyakan mengenai beg tangan, saya terkejut kerana menyangka barangan itu ada bersamanya.

“Saya cuba mendapatkan bantuan pelbagai pihak tapi malangnya, ia tidak berhasil.

“Dalam beg tangan isteri terdapat duit raya milik anak, cincin perkahwinan, sijil nikah dan pelbagai dokumen penting. Kami buntu memikirkan bagaimana untuk mendapatkan kembali barangan ini.

“Sebab itu saya meminta bantuan rakan supaya menghebohkan perkara ini di laman sosial serta meminta jasa baik orang ramai supaya memulangkan jika menemuinya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bagi Rizalmi, mereka berharap supaya barangan terbabit ditemui bagi memudahkan dia menyelesaikan beberapa lagi perkara dengan secepat mungkin.

Susulan kes ini, kenalannya, Muhammad Haris memuatkan naik status di laman sosial sebagai usaha terakhir untuk mendapatkan kembali barangan itu.

Berikutan itu, katanya dia membuat laporan di Balai Polis Chukai, Kemaman bagi meminta bantuan pihak berkuasa.

1. Gambar kemalangan membabitkan keluarga Rizalmi.

2. Tangkap layar yang meminta bantuan mengesan beg tangan dan dompet milik isteri Rizalmi dan arwah anaknya.

Disiarkan pada: September 19, 2019 @ 10:00pm
d