utama

'Tak peduli kenapa roboh, kami tetap bantu' - LZS [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

LEMBAGA Zakat Selangor (LZS) membuka kaunter di pusat penempatan sementara di Paya Jaras, Sungai Buloh untuk membanci penduduk terjejas akibat perobohan rumah berhampiran Sungai Kedondong.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basit Hamid berkata, bancian itu dilakukan mengikut had kifayah untuk mengesan mana-mana keluarga terjejas yang berada dalam keadaan fakir atau miskin.

Sekiranya didapati keluarga itu berada dalam kategori fakir atau miskin yang bermaksud tiada pendapatan atau berhadapan kekangan kewangan untuk meneruskan hidup, mereka akan dibantu.

“Alhamdulillah kita sudah pun menyediakan beberapa rumah di Subang Bestari yang siap untuk dimasuki. Jika mereka termasuk dalam kategori asnaf, fakir atau miskin dan untuk berpindah, kita boleh membawa mereka serta-merta ke Subang Bestari.

“Bantuan lain seperti kewangan bulanan, pendidikan anak dan keperluan asasi akan disalurkan LZS. Kita mempunyai banyak jenis bantuan boleh disalurkan ikut keperluan yang khusus mengikut data bancian sebuah keluarga.

“Kami di LZS tidak mahu tahu kenapa rumah diroboh dan sebagainya. Kami cuma nak tahu (apa berlaku) selepas diroboh. Umat Islam di bumi Selangor, asnaf fakir miskin itu adalah tanggungjawab lembaga zakat,” katanya ketika ditemui Harian Metro di lokasi perobohan rumah berkenaan.

Setakat ini, katanya, lebih 50 peratus penduduk terjejas sudah dibanci membabitkan 40 keluarga dan kaunter LZS akan dibuka semula esok pagi untuk baki keluarga yang masih belum dibanci disebabkan keluar bekerja.

Menurutnya, empat pegawai LZS termasuk seorang pengurus akan membantu di kaunter disediakan selain dibantu beberapa penolong amil kariah.

“Jika asnaf, fakir atau miskin itu dapat mencari rumah sewa mengikut kadar ditentukan LZS iaitu maksimum RM600 sebulan, nanti Insya-Allah kita akan bantu bayaran sewa rumah itu.

“Namun, seandainya mereka tiada pilihan lain dan mahu pindah ke Subang Bestari, kami mengalu-alukan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Paya Jaras Hilir, Azroy Abdul Manaf berkata, penduduk terjejas sangat menghargai usaha dilaksanakan LZS.

Beliau berkata, mereka yang membabitkan 257 orang yang kini berlindung di khemah sementara menanti keputusan bancian LZS untuk bantuan sepatutnya yang boleh diterima.

“Penempatan sementara didirikan ini tiada kemudahan tandas dan tempat mandi. Hanya ada tempat berlindung dari panas dan hujan membabitkan 12 khemah iaitu lapan inisiatif penduduk kampung manakala empat khemah lagi sumbangan Unit Amal PAS.

“Penduduk terjejas akibat perobohan rumah terdiri daripada seawal usia bayi empat bulan dan paling tua adalah warga emas berusia lewat 70-an.

“Hari ini sudah hari ketiga kami bermalam di khemah. Lebih awal berpindah lagi elok untuk keselesaan mereka juga,” katanya sambil menjelaskan keperluan di pusat penempatan itu adalah tilam, selimut dan bantal selain keperluan barangan mentah makanan asas.

Menurutnya, makanan masak sudah disediakan menerusi dapur kilat disediakan Unit Amal PAS.

“Kami tidak membuat kutipan dana melalui atas talian termasuk media sosial dan media massa.

“Ini bagi mengelakkan kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan. Sekiranya masyarakat mahu membantu boleh datang terus lokasi penempatan sementara ini,” katanya.

Akhbar Harian Metro, hari ini, melaporkan dalam operasi perobohan dilakukan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling kelmarin, 55 rumah dibina atas tanah rizab sungai dirobohkan bagi memberi laluan projek pelebaran Sungai Kedondong bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Bagaimanapun, pihak berkuasa terbabit memberi tempoh kepada pemilik 37 rumah lain sebelum dirobohkan bagi membolehkan anak mereka menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terlebih dahulu.

Disiarkan pada: September 20, 2019 @ 5:34pm
d