utama

Sisipan P&P bantu pemilikan aset hartanah

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

SISIPAN baharu akhbar Harian Metro, Pemaju dan Pemilik (P&P) dijangka membantu orang ramai terutama pemain industri hartanah peroleh maklumat tepat dan terkini mengenai sektor hartanah di seluruh negara.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein berkata, sisipan diterbitkan setiap Jumaat bermatlamat menyampaikan infomasi berkaitan hartanah dan berkongsi tips mengenai pemilikan rumah serta hartanah komersial.

Beliau berkata, sisipan enam hingga lapan muka surat ini juga sebagai satu daripada beberapa ruangan dan sisipan baharu diperkenalkan Harian Metro selepas menjalani proses pengubahan wajah (revamp) Isnin lalu.

“Antara objektif utama sisipan ini adalah untuk menyampaikan maklumat tepat dan terkini mengenai pelbagai sektor hartanah negara, jenis kediaman hinggalah ke komersial dan industri sesuai dengan falsafah Rumahku Syurgaku.

“P&P akan berusaha menggarap isu berkaitan pihak pemaju serta menawarkan tips bagi pembeli serta pemilik hartanah di samping memperkenalkan projek hartanah baharu di serata tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas turut serta merasmikan pameran hartanah MyRumah 2019 dan sisipan P&P bersama Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain di Kuantan City Mall, Kuantan, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Yushaimi Maulud Yahaya dan Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Jeannie Leong.

Sementara itu, Yushaimi berkata, pameran hartanah MyRumah 2019 di daerah ini mampu menjadi batu loncatan kepada pemaju hartanah untuk mengemukakan tawaran menarik kepada orang ramai yang mahu membuat pelaburan dalam industri perumahan dan bangunan komersial.

Beliau berkata, pemaju perumahan berprestij seperti LBS Bina Group, O&C Properties (Kuantan) dan UDA Land (East) sudah tentu mempunyai strategi tersendiri dalam menarik orang ramai memiliki hartanah.

Katanya, agensi seperti Jabatan Perumahan Negara (JPN), Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu (KOPERAT), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) serta Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) juga mampu mengetengahkan projek hartanah yang bukan saja tertumpu di Pahang, malah di Terengganu dan Shah Alam.

“Sudah tentu kita mensasarkan banyak unit rumah terjual dalam pameran kali ini, kita tidak dapat jangka berapa banyak tapi kita harap ia mampu melepasi jangkaan ditetapkan,” katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2019 @ 7:51pm
d