utama

Ajal akibat terkejut

Oleh Muhammad Apendy Issahak

SURI rumah menemui ajal selepas tidak sedarkan diri dipercayai akibat terkejut susulan rumahnya diserang sekumpulan lelaki yang memecahkan kereta anaknya yang diletak di hadapan rumah di Jalan New Delhi, Buntong, Ipoh malam tadi.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, M Abiramy, 44, pengsan di kediamannya sebelum dibawa ke hospital oleh anaknya untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia 8.30 malam.

Rumah mangsa selain sebuah kereta dan tiga motosikal kemudian turut musnah terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat kumpulan lelaki yang menyerang terbabit.

Anak sulungnya, N Nineswaran, 29, berkata, ketika kejadian hanya ibu serta tiga adik perempuannya berada di rumah manakala dia dan bapa serta dua adik lelaki tiada di rumah.

“Pada 7.40 malam, adik perempuan hubungi saya memaklumkan ibu pengsan selepas beberapa lelaki menyerang rumah kami termasuk memecahkan kereta adik yang diletak di luar pagar rumah.

“Sebaik tiba di rumah saya lihat ibu sudah tidak sedarkan diri dan saya bersama tiga adik perempuan bergegas membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Menurutnya, sebaik tiba di hospital ibunya disahkan sudah meninggal dunia dan lebih malang dia mendapat panggilan telefon daripada jiran yang mengatakan rumahnya terbakar.

“Ketika saya pulang untuk melihat keadaan ibu, kumpulan lelaki yang menyerang itu sudah tiada dan kami keluar rumah dengan mengunci semua pintu untuk menghantar ibu ke hospital, namun difahamkan kumpulan itu datang semula ketika ketiadaan kami.

“Saya tidak pasti siapa yang berniat jahat terhadap keluarga kami dan sejak tinggal di rumah ini lebih 30 tahun tiada masalah berlaku dan setahu saya kami juga tidak berhutang dengan along,” katanya.

Menurutnya, ibunya juga berniaga sarapan pagi di tepi jalan utama berhampiran rumah mereka dan mereka sekeluarga tinggal di rumah itu termasuk dia dan lima adik serta bapanya.

“Mayat ibu kini dibedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan dijangka disemadikan petang ini selepas proses menuntut mayat selesai,” katanya yang sudah membuat laporan polis berhubung kejadian.

Sementara itu, jiran mangsa mendakwa melihat empat lelaki menaiki dua motosikal menyerang kediaman mangsa termasuk memecahkan kereta.

“Ketika kumpulan lelaki itu memecahkan kereta, mangsa (Abiramy) menjerit beberapa kali sebelum pengsan dan kumpulan itu beredar.

“Namun kira-kira sejam kemudian kumpulan itu datang kembali dan bertindak memecahkan rumah mangsa sebelum membakar rumah serta kereta yang dipecahkan sebelum itu,” kata wanita yang enggan dikenali itu.

Disiarkan pada: September 23, 2019 @ 11:52am
d