utama

Budak parah jatuh buaian berpusing

Oleh Ravale Savarinathan

KANAK-KANAK perempuan parah selepas terjatuh daripada buaian berpusing di sebuah tapak pesta ria atau di Hutan Melintang, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, mangsa, Chow Lee Ying, 4, patah kaki kanan selain cedera pergelangan tangan serta luka di muka akibat terjatuh dari ketinggian 5 meter.

Bapa saudara mangsa, Tan Kwan Yong, 26, berkata ketika kejadian anak saudaranya itu bersama ibu bapanya ke pesta ria berkenaan dan ingin menaiki buaian berkenaan bersama.

“Anak saudara saya naik dulu buaian terbabit, namun sebelum sempat ibu bapanya naik sama, buaian berkenaan sudah bergerak membuatkan mereka menjerit meminta ia dihentikan.

“Buaian itu terhenti dengan keadaan anak saudara saya sudah berada di separuh pusingan buaian terbabit dan sebelum sempat diturunkan, mangsa terjatuh,” katanya ketika ditemui di Hospital Teluk Intan, hari ini.

Menurutnya, ada beberapa pengunjung melihat kejadian cuba membantu dengan menyambut anak saudaranya sebaik terjatuh, namun tidak berjaya dan mangsa jatuh ke atas tanah.

“Ibu bapanya kemudian membawa mangsa ke klinik berhampiran, tetapi kemudian dinasihatkan untuk menghantar mangsa ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.

“Mangsa dijangka akan menjalani pembedahan esok susulan kecederaan dialaminya dan pihak keluarga belum memikirkan sama ada ingin mengambil tindakan lanjut terhadap pengusaha pesta ria berkenaan,” katanya.

Difahamkan terdapat laporan polis dibuat penduduk setempat berhubung kejadian itu yang mendakwa banyak permainan di pesta ria berkenaan yang baru dibuka selama tiga hari di kawasan berkenaan tidak selamat digunakan.

Sementara itu, wakil pengusaha tapak pesta ria berkenaan ketika ditemui mengesahkan berlaku kemalangan itu dan pihaknya menyerahkan siasatan kepada polis.

Tinjauan ke lokasi kejadian turut mendapati kawasan tapak pesta ria itu tidak dibuka kepada pengunjung hari ini.

Disiarkan pada: September 23, 2019 @ 7:13pm
d