utama

Aisyah anugerah tak ternilai

Oleh Sudirman Mohd Tahir

KEHADIRAN bayi perempuan yang diberi nama Aisyah Humaira melengkapkan lagi perkahwinan pelakon terkenal, Datin Seri Umie Aida dengan suami, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Bayi yang kini berusia dua bulan 27 hari itu dianggap rezeki tidak ternilai daripada Allah SWT, sekali gus menjadikan usia 10 tahun perkahwinan Umie dan suami lebih bermakna.

Bagi Umie, 46, atau nama sebenarnya Umi Khalsum Rahmad Ali, kehadiran Aisyah Humaira juga memberikan nikmat luar biasa.

“Kehadiran Aisyah adalah rezeki yang Allah berikan yang saya tak tahu nak gambarkan macam mana. Kegembiraan ini saya kongsikan bersama pada majlis aqiqah dan kesyukuran. Saya bersyukur sangat dengan kehadiran Aisyah. Malah, sejak dia hadir, dia memberikan satu kenikmatan luar biasa dalam kehidupan saya sekeluarga.

“Selepas 10 tahun perkahwinan dengan suami, walaupun masing-masing ada anak, tapi dia ‘baby’ yang baru lahir yang saya ambil dari kecil, tangisan dia menjadikan kehidupan suami isteri lebih bermakna,” katanya.

Walaupun selepas 26 tahun Umie yang juga pelakon filem Dukun kembali menjadi ibu, baginya ia bukan sesuatu yang sukar.

Sifat dan naluri keibuan yang ada sejak sekian lama dalam diri memudahkan lagi dia mengurus dan menjaga Aisyah.

“Kali terakhir menguruskan anak kecil adalah 25 tahun lalu. Apabila sekarang ada anak kecil pula, ia sangat menarik. Saya pula memang sukakan budak.

“Naluri keibuan itu secara semula jadi sudah ada dalam diri. Ia sesuatu yang menyeronokkan saya dan ia bukan sesuatu yang baru kena buat,” katanya.

Menurut Umie, dia juga masih ingat dengan semua rutin yang perlu dibuat apabila mempunyai anak kecil.

“Dulu sudah buat dan sekarang kena buat lagi. Ia menjadi lebih menarik. Tentu saja saya masih ingat semua,” katanya.

Banyak habis masa di rumah

Sejak kehadiran Aisyah, masa Umie juga lebih banyak dihabiskan di rumah.

Umie juga lebih selesa menguruskan Aisyah sendiri kerana ingin bayi itu membesar di depan mata dan hasil sentuhannya sendiri.

“Saya tak akan gunakan khidmat pembantu sehinggalah dia boleh bercakap. Saya memang jaga dan uruskan sendiri. Saya mahu dia membesar depan mata. Begitu juga dengan dua anak dulu. Momentum harus dijaga.

“Jika saya bekerja, saya akan bawa bersama jika tempat kerja itu sesuai. Jika tidak, saya tinggalkan dia bersama pembantu peribadi (PA) saya. Sekarang, PA saya sudah menjadi PA Aisyah juga. Saya akan pantau dari luar sebab saya tinggalkan kamera.

“Jadi, boleh dikatakan masa lebih banyak bersama anak dan keluarga. Nak pergi majlis saya sudah lalui semua. Untuk usia sebegini, lebih kepada keluarga. Pilih majlis sesuai saja. Macam lakonan pun, kalau saya berasa ‘enjoy’ nak bawa, saya akan bawa. Kalau ala kadar, tak perlu,” katanya.

Umie yang turut terbabit dalam teater Pawana Isabella baru-baru ini juga lebih bersikap privasi terhadap anaknya itu.

“Saya tidak cipta masa depannya. Dia harus cipta sendiri dan hormat apa yang dia mahukan. Apa-apa pun, saya ini jenis privasi sikit.

“Kalau di Instagram pun, perkongsian yang mendatar saja. Lebih kepada kerja dan mengenai keluarga pun sikit-sikit. Jadi, untuk anak saya lebih suka privasi. Apabila sudah besar nanti, pandai-pandailah dia fikir sendiri. Tapi, buat masa ini saya lebih suka privasi. Letak di Instagram saya pun ‘manja-manja’ saja,” katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 6:00am
d