utama

Kedai makan 'bisu'

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

SUAMI isteri ini tidak boleh mendengar dan bertutur dengan sempurna namun kekurangan itu bukan penghalang untuk menjalankan perniagaan gerai makan.

Gerai diusahakan Mohd Rahim Abd Wahab, 50, dan isteri, Norliza Jidin, 47, yang juga orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu terletak berhadapan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tsung Wah, Jalan Dato Sagor di sini.

Kakak Mohd Rahim, Siti Hawa Abd Wahab, 57, berkata, pasangan terbabit menyara kehidupan mereka serta empat anak termasuk tiga yang masih bersekolah dengan berniaga.

Mereka berdua turut mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM400 seorang.

Menurutnya, adiknya itu tidak memiliki kereta dan berulang-alik mengangkut barang berniaga dari rumahnya yang terletak tidak jauh dari tapak gerai menggunakan motosikal tiga roda sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) melalui Program Pemerkasaan Asnaf.

“Sebagai kakak, saya sekadar membantu apa yang terdaya khususnya operasi di gerai yang kadang kala memerlukan interaksi lisan.

“Alhamdulillah terdapat agensi lain yang sudi membantu termasuk Yayasan Bina Upaya (YBU) melalui kemudahan gerai mudah alih Kiosk Amanjaya biarpun hasil jualan sekadar cukup menampung keperluan harian,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, gerai mudah alih adiknya itu dibuka seawal jam 6 pagi setiap hari kecuali Sabtu dan turut dibantu seorang pekerja tetap.

Siti Hawa berkata, selain dia dan anaknya yang mengambil upah secara sambilan khususnya ketika waktu puncak di gerai terbabit, anak sulung pasangan itu yang berusia 20 tahun dan bekerja kilang di Kulim turut membantu ketika cuti.

“Pada asalnya saya turut mempunyai gerai sendiri di Padang Rengas namun menyerahkan pengurusannya kepada abang ipar untuk fokus membantu adik di gerai ini kerana sambutan pelanggan juga menggalakkan.

“Berbekalkan pengalaman yang ada, saya membimbing di samping membantu mereka termasuk dalam penyediaan masakan,” katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 6:35am
d