utama

Cari isteri MRKH

Oleh Hayati Ibrahim

TIDAK boleh mengandung menjadi lesen kepada lelaki miang mendekati wanita tanpa rahim atau penghidap Sindrom Mayer Rokitansky Kuster Hauser (MRKH), semata-mata untuk melampiaskan nafsu.

Lelaki gila seks ini juga tanpa segan silu sanggup mendekati kumpulan sokongan pesakit ini, MRKH Malaysia bagi mencari ‘isteri’ untuk bermalam.

Situasi ini kedengaran keterlaluan namun itulah yang dialami wanita istimewa ini kerana dianggap pilihan terbaik untuk aktiviti seks tanpa perlindungan.

Atas dasar itu, pengasas MRKH Malaysia, Nur Syazwani Abdul Rahim atau lebih dikenali sebagai Wani Ardy, 35, bertanggungjawab melindungi ahli daripada lelaki ini.

Wani berkata, dia hanya menyedari perkara itu selepas beberapa kali didekati dan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Mereka kononnya nak cari isteri kedua atau ketiga, ada juga yang nak cari isteri wanita MRKH supaya dia ada sebab untuk berkahwin lebih daripada satu.

“Mungkin mereka ingat kami boleh dipermainkan. Jadi, saya rasa ada keperluan untuk melindungi wanita ini supaya tidak terjerat,” katanya ketika ditemui di sini.

Menjelaskan lanjut, Wani berkata, sindrom MRKH adalah keadaan seorang wanita dilahir tanpa rahim dan saluran vagina, serta tidak boleh hamil.

“Simptom utama adalah tidak datang haid. Saya mengetahui menghidap sindrom ini ketika berusia 17 tahun selepas ibu membawa membuat pemeriksaan kerana tidak datang haid.

“Doktor yang memeriksa tidak menemui rahim dalam badan saya, malah saya juga tidak mempunyai saluran vagina,” katanya.

Anak kedua daripada empat adik-beradik itu berkata, ketika dimaklumkan mengenai penyakit itu dia sangat naif hanya menganggap ia tidak serius.

“Sebenarnya perkara itu memberi kesan kepada ibu saya sebagai wanita yang matang dia lebih tahu apa kesannya jika wanita tidak boleh mengandung.

“Sehinggakan ibu minta saya tidak berkahwin dan tinggal bersamanya hingga tua,” katanya yang pernah berkahwin selama lapan tahun dan mempunyai seorang anak berusia tujuh tahun dinamakan Ikhlas.

Wani berkata, pada 1970-an dan 1980-an, kebanyakan pakar perubatan tidak mempunyai banyak maklumat mengenai penyakit ini dan ia dianggap pelik.

Disebabkan itu, katanya, hampir semua pesakit MRKH diberi salah diagnosis.

“Bila ke klinik memaklumkan tidak datang haid, doktor akan memberi pil hormon.

“Kebanyakan kami pernah makan pil hormon untuk tempoh masa lama, tapi memang tak jadi apa-apa sebab tiada rahim untuk proses itu,” katanya.

Katanya, perkara paling memeritkan mereka turut dipandang negatif oleh keluarga sendiri.

“Mereka tidak dibenarkan berkahwin, jika sudah bertunang pun diminta putus. Semua orang cakap jangan kahwin sebab nanti menyusahkan orang lain,” katanya.

Wani yang sudah berkahwin baharu beberapa bulan lalu berkata, fasa kehidupan wanita MRKH agak celaru pada peringkat usia remaja.

Katanya, ada antara gadis MRKH berpura-pura membawa tuala wanita ke sekolah semata-mata untuk menunjukkan mereka datang bulan, tidak kurang juga yang ‘menipu’ ustazah kononnya uzur ketika diminta solat di sekolah.

“Niat mereka bukan menipu, tetapi untuk menunjukkan mereka juga normal. Itu cara mereka deal supaya tidak rasa kekurangan pada diri masing-masing,” katanya.

Katanya, pada usia 20-an pula, kebanyakan mereka takut untuk mempunyai hubungan serius dan ada yang berpendapat tidak berkahwin lagi senang.

Namun, di sebalik kekurangan ini, Wani menjelaskan wanita MRKH mempunyai semangat kuat untuk menepis persepsi negatif terutama pada usia 30 hingga 40-an.

Katanya, ramai dalam kalangan ahli mereka menjalani hidup bahagia bersama suami, anak dan ada karier sendiri.

“Memang ambil masa bertahun-tahun untuk mencapai tahap ini kerana bukan mudah membina keyakinan diri dan mendapat sistem sokongan kuat daripada orang sekeliling.

“Itulah pentingnya diagnosis awal. Kalau umur sudah lebih 17 tahun, tak datang haid, mesti jumpa pakar sakit puan,” katanya.

Menurutnya, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM, adalah satu-satunya hospital yang mempunyai pakar dan membuat kajian mengenai MRKH di negara ini.

Wani berkata, selain rawatan di hospital, individu disahkan menghidap sindrom ini boleh dirujuk ke MRKH Malaysia untuk dibantu.

“Peranan kami adalah memberi sokongan mental, emosi serta panduan bagaimana menjalani kehidupan sebagai wanita atau gadis MRKH.

“Doktor hanya boleh beri maklumat mengenai penyakit dan rawatan, kalau datang kepada kami, mereka akan dibantu menerusi sesi perbincangan hati ke hati,” katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 6:45am
d