utama

'Saya sudah maafkan Sonny'

Oleh Suraya Roslan

“SAYA sudah maafkan Sonny (Bill Williams), tiada isu antara kami, hanya mengenai hak cipta gambar selepas nama saya 'dicrop'.”

Itu penjelasan jurugambar Malaysia, Muhamad Faiz Azizan, 37, selepas bintang ragbi All Blacks, Sonny Bill Williams memohon maaf menerusi Instagram rasminya selepas memuat naik gambar tanpa meletakkan kredit namanya.

Muhamad Faiz yang juga jurugambar sambilan sukan berkata, dia perlu tegas soal hak cipta berikutan bagi mendapatkan detik bersejarah Williams dan rakannya, Ofa Tu’ungafasi berdoa sebelum menentang Afrika Selatan pada perlawanan Piala Dunia Ragbi 2019 berlangsung di Jepun itu bukan perkara mudah.

“Terus terang, saya perlu bersaing dengan ratusan jurugambar seluruh dunia untuk mendapatkan detik berkenaan selain diberikan waktu sangat singkat.

“Tidak adil bagi saya apabila hasil titik peluh sendiri tidak diberi pengiktirafan, disebabkan itu saya menghantar mesej peribadi (DM) ke Instagram Williams dan Ofa (Tu’ungafasi), tetapi tiada tindak balas.

“Selepas mendapatkan pendapat beberapa rakan termasuk jurugambar dari New Zealand, saya terus melaporkan kepada Instagram untuk mengambil tindakan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dia yang sudah sembilan tahun bertugas sebagai jurugambar sambilan berkata, dia menghantar DM kepada Williams dan Tu’ungafasi bertanyakan dari mana mereka mendapat gambar berkenaan.

“Namun saya faham, kedua-duanya mempunyai pengikut ramai dan tidak perasan DM saya.

“Tetapi Ofa (Tu’ungafasi) ada membalas DM saya dan mengatakan dia mendapat gambar berkenaan yang sudah 'dicrop' tanpa nama saya daripada rakan lain," katanya.

Muhamad Faiz berkata, dia tidak mahu membesarkan isu berkenaan berikutan Sonny sendiri sudah meminta maaf.

“Bagaimanapun, ada yang mengaitkannya dengan isu agama sekarang terutama media asing yang menghubungi saya.

“Saya tegaskan kepada mereka, bukan isu agama yang timbul ketika ini, hanyalah pelanggaran hak cipta gambar sahaja," katanya.

Portal berita Harian Metro hari ini melaporkan mengenai Sonny memohon maaf kepada jurugambar berpangkalan di Malaysia selepas memuat naik gambarnya di Instagram tanpa kredit jurugambar terbabit.

Sonny kemudian menghantar mesej kedua di Instagram mempersoalkan mengapa gambar itu dibuang, dengan bertanya: “Sudah pasti gambar mudah mengenai seseorang meluahkan kesyukuran terhadap apa dikurniakan terhadap mereka sesuatu yang OK?”.

Namun menyedari kesilapan itu berpunca daripada memuat naik gambar itu tanpa menyebut nama jurugambar Faiz Azizan, dia segera memuat naik gambar itu di Instagram dengan memasukkan nama Faiz.

“Asalamualaikum saudara, maafkan saya kerana silap faham ini, saya diberikan gambar yang tidak disertakan nama anda, jika saya tahu saya pasti akan tag anda sebelum memuat naik gambar itu kerana anda merakam detik yang indah," tulisnya.

Williams memeluk Islam pada 2008 manakala Ofa Tu’ungafasi memeluk Islam selepas 51 orang Islam terkorban dalam serangan di dua masjid di New Zealand awal tahun ini.

Berita berkaitan

'Bintang All Blacks minta maaf'

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 8:55pm
d