utama

Ilham kerinduan

Oleh Rudy Imran Shamsudin

MANUSIA tidak mengira status dan kedudukan waima ahli agama sikapnya tetap tidak akan sempurna serta pasti ada melakukan kesilapan.

Inikan pula mereka yang bergelar anak seni yang mana kerjaya itu dan kehidupan seharian penuh pancaroba.

Maka tidak hairan ada penggiat seni hanyut kerana tewas dengan pancaroba yang menerjah bertubi-tubi. Namun, kecintaan terhadap seni memberikan mereka kekuatan untuk bangkit semula dan terus berjuang.

Begitu yang dilalui pelakon popular Fathia Latiff ketika ini. Dia pernah berada di puncak dan bakat dipersembahkan dalam drama mahupun filem sering diangkat pemerhati industri mahupun peminat.

Dek kerana alpa dengan kemilau glamour dunia seni dia hampir hilang ‘rentak’. Mujur kecintaan pada dunia seni membuatkan dia tersedar seterusnya bangkit daripada lena.

Begitupun, untuk membina semula laluan ke takhta dari denai bisa yang ditanam sebelum ini tidak mampu dihapus dalam satu tarik genggam tangan. Sebagai pelaku, Fathia ketika berbicara mengenai perkara ini sedar kesilapan pernah dilakukannya.

Pemenang trofi Pelakon Filem Wanita Popular majlis Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29 itu juga tahu kesilapan dan kealpaan dirinya menyebabkan berlaku banyak kerosakan.

Pernyataan maaf mungkin tidak cukup bagi mereka yang turut terluka dengan kerosakan dan kesilapan yang dilakukan, namun bukankah Islam sendiri mengajar kita untuk memaafkan kerana sifat ketuanan hanya milik Allah SWT.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya memohon maaf andai ada pihak berasakan apa yang saya lakukan sebelum ini keterlaluan. Hanya pernyataan maaf sahaja yang mampu saya lakukan dan berikan saya peluang kedua untuk kembali berkarya,” katanya.

Jelas Fathia, dia dan pihak pengurusannya turut berusaha untuk bertemu banyak pihak bagi memohon kemaafan dan memberikannya peluang kedua.

“Saya tahu bukan mudah mereka mahu menerima permohonan maaf, tetapi saya hanya manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan,” katanya.

Berbicara lanjut perkara itu kata Fathia, andai ada pihak belum terbuka hati memaafkan dirinya, hanya doa mampu dipanjatkan supaya suatu hari nanti hati mereka dilembutkan untuk menerimanya semula.

“Apapun yang berlaku saya tetap sayangkan dunia seni. Saya akan terus berusaha dan berjuang atas nama seni. Andai satu pintu ditutup saya percaya akan ada pintu lain dibuka untuk saya.

“Disebabkan itu sekarang saya mahu fokus membina karier nyanyian. Single pertama, Jika Aku Tahu yang saya cipta sepenuhnya dilancarkan hari ini.

“Saya tidak boleh terus bersedih apabila ada pihak tidak mahu menerima saya semula sedangkan kerjaya seni perlu diteruskan. Lagipun, ini sebenarnya yang saya mahu lakukan. Sejak dulu saya mahu jadi penyanyi. Cuma dulu, peluang berlakon yang datang dulu. Jadi, biar saya kejar impian untuk jadi penyanyi pula,” katanya.

Jelas Fathia, dia rindu untuk tampil di atas pentas menyanyi dan menghiburkan orang ramai kerana baginya itu memberikan lebih kepuasan.

Mengulas mengenai Jika Aku Tahu kata Fathia, lagu yang dihasilkan itu sangat bermakna kerana ia lahir dari rasa rindunya kepada arwah datuk.

“Saya serius menyanyi dan saya lakukan perkara ini bukan kerana saya tidak lagi diterima sebagai pelakon. Perkara itu tidak berlaku dan jujur sebenarnya saya masih menerima tawaran berlakon, malah baru-baru ini ada lamaran menjayakan telefilem.

“Bagaimanapun, tawaran itu saya terpaksa tolak kerana bertembung tarikh pelancaran single ini. Saya akan sibuk dengan kerja promosi,” katanya.

Jelas Fathia, dia mahu membuktikan kemunculannya sebagai penyanyi bukan kerana bergantung kepada populariti dimiliki semata-mata sebaliknya dia boleh menyanyi dengan baik.

“Saya tahu saya tidak sehebat penyanyi profesional, tetapi ini peluang untuk saya mengetengahkan karya yang dihasilkan. Jika Aku Tahu ibarat luahan rasa hati dan saya mahu berkongsi dengan peminat,” katanya.

Kata Fathia, dia juga tidak pernah terfikir untuk bersaing dengan penyanyi sedia ada dan yakin ada tempatnya untuk dalam industri muzik tanah air.

“Bakat manusia pelbagai dan saya percaya setiap penyanyi ada kelompok peminat tersendiri. Saya tidak meletakkan harapan tinggi akan terus diterima dan diminati. Seperti dunia lakonan saya perlu buktikan bakat dalam bidang nyanyian.

“Perlahan-lahan saya cuba mengumpul kelompok peminat yang menyukai karya saya. Pembabitan saya dalam bidang seni suara adalah serius,” katanya.

Disiarkan pada: September 27, 2019 @ 6:00am
d