utama

Pemain TRW ikat perut lagi...

Oleh Syazwan Msar

JANJI hanya tinggal janji. Itulah yang berlaku apabila Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) terus gagal melunaskan tunggakan gaji kepada pemain walaupun ia sepatutnya dibayar pada 15 September lalu.

Bagaikan menunggu buah yang tak jatuh, pemain skuad The Red Warrior (TRW) kini dikatakan perlu menunggu sekurang-kurangnya sebulan lagi bagi mendapat pembayaran awal tunggakan lima bulan gaji, sekali gus menyaksikan situasi berkenaan seolah-olah tiada penyelesaian walaupun pengurusan sudah bertukar tangan.

Mengikut rekod, pemain dan barisan jurulatih pasukan terbabit dijanjikan bayaran secara ansuran bermula 15 September lalu hingga semua tunggakan terbabit selesai.

Namun, terdapat beberapa perkara yang belum selesai antara KAFA dan MQ Teknologi Berhad menyebabkan perkara itu tertangguh.

Ia disahkan Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman yang mengaku terdapat kelewatan berhubung pembayaran tunggakan gaji seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Beliau berkata, terdapat beberapa perkara terutama membabitkan dokumentasi belum lagi selesai antara pihaknya dan MQ Teknologi Berhad menyebabkan dana tidak dapat disalurkan.

“Saya akui memang belum lagi membayar tunggakan gaji seperti yang dijanjikan sebelum ini, namun masalah ini akan selesai dalam masa terdekat dan pemain tidak perlu bimbang.

“Perkara ini sudah dimaklumkan kepada pemain dan barisan jurulatih, sekali gus mereka mengetahui kelewatan pembayaran terbabit yang tidak boleh dilaksanakan seperti dirancang.

“Harap perkara ini tidak dibesarkan kerana kami berusaha menyelesaikan masalah terbabit dan komited memastikan pasukan Kelantan tidak lagi dibelenggu masalah hutang,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan pemain dan pegawai pasukan termasuk bekas pemain Kelantan sanggup berkorban menerima pembayaran tunggakan gaji secara ansuran bagi memastikan pengurusan dapat menyelesaikan hutang lain yang membelenggu mereka sejak 21 tahun lalu.

Malah, ada antara mereka bersetuju dengan menandatangani surat perjanjian pembayaran tunggakan secara bulanan untuk tempoh sehingga 10 bulan supaya pasukan terbabit tidak menghadapi masalah untuk memohon lesen kebangsaan dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi menghadapi musim 2020.

Presiden KAFA, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, pihaknya sudah mencapai kesepakatan bersama pemain dan pegawai untuk membuat pembayaran secara ansuran memandangkan peruntukan kewangan yang diterima persatuan itu belum mencukupi.

Beliau berkata, pihaknya berusaha menyelesaikan masalah kewangan pasukan termasuk melakukan penstrukturan semula hutang membabitkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan beberapa tunggakan lain.

Disiarkan pada: September 27, 2019 @ 6:30am
d