utama

Ini jawapan kepada tiga persoalan kematian Adib

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

TIGA persoalan utama berhubung kematian Muhammad Adib Mohd Kassim terjawab pada keputusan inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini.

Ia termasuk persoalan sama ada Muhammad Adib dipukul pada rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selain itu, mengapa anggota bomba itu tidak mempertahankan diri, sekiranya dia dipukul dan kenapa mangsa hanya mengaku dipukul kepada kakitangan perubatan di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur dan ketuanya.

Koroner Rofiah Mohamad berkata, keterangan saksi ke-10, pemandu Mitsubishi Storm, Mohd Hafizan Nordin, 33, yang berkata dimaklumkan seorang wanita India, ‘adik, jangan masuk... nanti kena pukul’ pada masa kejadian menunjukkan perlakuan memukul berlaku.

Katanya, apabila wanita itu berkata demikian, ia mungkin berdasarkan pengalaman individu itu yang tahu ada seseorang kena pukul dan tidak selamat.

Selain itu, keterangan saksi kelapan, S Suresh, 33, bahawa terdapat sekumpulan antara 10 dan 20 orang yang mengerumuni seseorang dengan ada gerakan seperti memukul atau memijak, pada masa kejadian.

“(Saksi) dengar jangan pukul dalam Bahasa Tamil. Ia berikan inferens... perkataan ‘bomba pun nak pukul’... tunjukkan perbuatan pukul sudah berlaku. Jadi, saya buat dapatan bahawa mangsa dipukul,” katanya.

Berhubung persoalan mengapa Muhammad Adib yang berbadan sasa dan anggota bomba terlatih tidak dapat mempertahankan diri, Rofiah berkata, pukulan terhadap mangsa di luar EMRS menyebabkan mangsa sudah tidak sedar dan tidak berupaya berbuat demikian.

“Saya juga membuat dapatan bahawa pukulan di luar van EMRS... adalah mustahil untuk mempertahankan diri,” katanya.

Rofiah seterusnya berkata, mahkamah juga merumuskan bahawa mangsa hanya memberitahu dia dipukul kepada saksi ke-16, Pembantu Pegawai Pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), Mohd Ashraff Baruji dan saksi ke-18, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman.

Katanya, mahkamah berpuas hati bahawa mangsa mengakui perkara itu (dipukul) kepada dua individu berkenaan kerana hubungan erat antara mereka.

Beliau berkata, perilaku Mohd Ashraff ketika memberi keterangan yang jelas beremosi termasuk sebak jelas menunjukkan perhubungan mesra antara dia dan Muhammad Adib.

“Saksi ke-16 (Mohd Ashraff) yang menjadi orang terakhir setiap hari yang menjaga mangsa dan sentiasa memberikan kata-kata semangat termasuk mempersiapkan mangsa setiap kali Adib mahu tidur juga menunjukkan hubungan mesra antara mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Rofiah turut menegaskan bahawa kegagalan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dalam mengawal rusuhan di kuil berkenaan turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.

“Adalah tidak munasabah apabila dua pasukan FRU yang lengkap bersenjata di lokasi kejadian tetapi hanya dalam keadaan bersiap-sedia dan melihat perusuh merusuh,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara dan PDRM untuk melakukan siasatan lanjut, sekiranya wajar.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Disiarkan pada: September 27, 2019 @ 2:35pm
    d