utama

RON 97 naik 12 sen, lain-lain kekal

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

HARGA runcit bagi petrol RON97 naik 12 sen pada harga RM2.79 seliter manakala RON95 dan diesel, masing-masing kekal pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter berkuat kuasa tengah malam ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan, hari ini, berkata harga bahan api berkenaan ditetapkan bagi tempoh 28 September hingga 4 Oktober berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Menurutnya, berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama masing-masing adalah sebanyak RM2.49 seliter dan RM2.39 seliter masing-masing.

“Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lalu bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.37 seliter dan kenaikan bagi harga runcit produk diesel yang berada pada paras RM2.32 seliter

“Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat,” katanya.

Katanya, menerusi pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk itu, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh 28 September hingga 4 Oktober ini adalah berjumlah RM173.26 juta.

Disiarkan pada: September 27, 2019 @ 5:12pm
d