utama

Satu sen pun takkan bayar

Oleh BERNAMA

KERAJAAN tidak akan bayar walau satu sen pun kos bagi menghantar kontena berisi sisa plastik ke negara asalnya, kata Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (MESTECC) Yeo Bee Yin.

Beliau berkata, kementeriannya sedang bekerjasama dengan kerajaan Pulau Pinang dalam menguruskan perkara itu dan sudah menghubungi pejabat kedutaan yang terbabit bagi menghantar balik sisa itu kepada syarikat dan negara terbabit.

“Ia bukan saja soal kos, ia mengenai maruah. Mengapa mereka hantar barang-barang ini kepada kita dan kita masih perlu membayar untuk mengembalikannya?

“Pihak yang bertanggungjawab perlu membayar denda kerana mengimport sisa secara haram sehingga mereka ambil balik sisa berkenaan,” katanya kepada media selepas merasmikan edisi kelapan pameran Penang International Green Conference & Exhibition (PGIGCE) 2019 bersama dengan Ketua Menteri Chow Kon Yeow di Georgetown, hari ini.

Beliau berkata, wakil dari United Kingdom tiba di Pulau Pinang beberapa hari lalu bagi mengenal pasti pemilik 42 daripada 265 kontena yang berisi sisa plastik ditinggalkan di North Butterworth Container Terminal (NBCT) sejak Januari lalu.

“Mengenal pasti penghantar bukan isunya, tapi prosedur itu sendiri akan mengambil masa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Teo berkata, kerajaan akan memberikan bantuan sokongan yang sewajarnya kepada kerajaan Pulau Pinang dalam menangani isu peningkatan paras laut disebabkan perubahan iklim.

Katanya, kerajaan negeri sudah mempunyai rancangan ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri berdaya tahan dalam menangani isu perubahan iklim.

Terdahulu dalam ucapannya, Yeo mengumumkan inisiatif kerajaan memberikan insentif kepada Pulau Pinang bagi memangkin penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui di Malaysia dan menarik lebih banyak pelajar mengikuti pendidikan dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

Insentif yang diumumkan termasuk pemasangan empat set panel solar di tiga sekolah di Pulau Pinang dan satu entiti pilihan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), serta peruntukan RM500,000 kepada Tech Dome Penang bagi menawarkan kemasukan percuma kepada pelajar.

Dengan tema ‘Penang Green and Smart City’, program tiga hari yang menampilkan 70 ruang pameran itu dikatakan sebagai PGIGCE terbesar yang pernah dianjurkan di situ.

Disiarkan pada: September 28, 2019 @ 6:14pm
d