utama

Biar lambat bina nama

Ardini Sophia Sina

MOMENTUM kariernya mungkin kelihatan perlahan, namun pelakon Elisya Sandha selesa begitu. Mendaki ke puncak kerjaya tidak boleh dibuat terburu-buru, bimbang cepat jatuh ke bawah.

Setiap langkah kaki dalam industri berdasarkan susun atur yang sudah dirancang. Untuk popular itu mudah namun bertahan serta kekal relevan memang sukar.

Tatkala pelakon baharu lain lebih pantas membina nama berbanding dirinya, Elisya sedikit pun tidak gentar kerana dia tahu rezeki setiap individu tidak sama.

Kehadiran Elisya dalam industri mula disedari dengan lebih luas selepas membintangi drama Mat Rukun. Bagaimanapun, bilangan peminatnya semakin bertambah selepas membawakan watak Reena menerusi drama Pujaan Hati Kanda.

Mula bergiat aktif dalam bidang lakonan sejak 2017, katanya, bukan mudah membina nama di persada seni. Mempamerkan bakat serta kelebihan di kalangan pelakon sedia ada memerlukan usaha.

“Saya sedar, mereka yang sama-sama terjun ke dunia hiburan ada yang lebih popular daripada saya. Bagaimanapun, saya tidak kisah sebab masing-masing ada jalan yang perlu dilalui untuk mencapai kejayaan.

“Saya tidak terburu-buru untuk dikenali. Biar perlahan-lahan membina nama. Biar lambat, asal selamat. Bimbang nanti cepat naik cepat juga turun,” katanya.

Ketika mula bertapak dalam industri seni, segelintir pihak berasakan semuanya mudah bagi wanita itu kerana kakaknya, Fasha Sandha yang juga pelakon hebat dan popular ada untuk membantunya.

Namun begitu, status sebagai adik Fasha bukan tiket buat Elisya untuk berada di laluan pantas. Dia diajar menggunakan kudrat sendiri untuk mencapai impiannya.

Menjadi bintang utama dalam drama Puteri Yang Ditukar, Elisya membuktikan dia tidak pernah menggunakan pengaruh atau menumpang populariti kakaknya untuk kesenangan diri.

Bukanlah tidak pernah dibantu, namun apa yang dilakukan oleh Fasha ialah memberikan pendedahan selok-belok dunia hiburan serta tip dan nasihat sebagai bekalan membina kerjaya.

“Kakak mengajar saya untuk bersusah-payah kalau inginkan kejayaan. Dia tidak pernah pun berjumpa dengan mana-mana produksi atau pengarah dan minta untuk ambil saya berlakon. Apa yang dia lakukan hanyalah berkongsi pengalaman serta memberikan nasihat.

“Kalau saya gunakan nama kakak untuk cari ‘job’, ia belum tentu menjamin karier kerana bakat adalah perkara utama yang dinilai industri hiburan kita. Tiada bakat, kerjaya tidak akan ke mana. Ikut jalan pintas pun tidak ada gunanya,” kata Elisya.

Menjayakan filem Hero: Jangan Bikin Panas, kesempatan yang diberikan itu sesuatu yang berharga buat dirinya. Tambahan pula ia adalah cerita berkisarkan pekerjaan bomba.

Tidak dinafikan, sebahagian besar daripada peminat filem di Malaysia skeptikal terhadap naskhah yang menjadikan unit beruniform sebagai latar belakang cerita.

Elisya tetap berharap agar umum memberikan peluang terhadap filem itu dan bukan terus memberikan tanggapan negatif sebelum menonton.

“Saya bangga dapat menjadi sebahagian filem ini. Ia memberikan pendedahan dengan lebih meluas mengenai dunia pekerjaan bomba. Saya harap, ramai yang datang ke pawagam menonton karya ini.

“Filem ini juga adalah satu tanda penghargaan buat ahli bomba yang selama ini kita bayangkan hanya padam api. Hakikatnya, skop tugas mereka sangat luas,” katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2019 @ 5:06am
d