utama

Peserta maraton parah dirempuh pemandu wanita

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SEORANG peserta maraton patah tulang pinggul dan paha kiri selepas dilanggar kereta ketika menyertai satu pertandingan larian di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Ampang, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian jam 6 pagi, seorang lagi peserta berusia 44 tahun turut cedera selepas sebuah kereta Honda City melanggar kon laluan peserta larian sebelum merempuh beberapa peserta.

Malah pemandu kereta berkenaan kemudian terus melarikan diri manakala peserta yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Mangsa, Faizul Shahrul Mohd Salleh, 44, tidak menyedari kehadiran kereta terbabit ketika itu sebelum dirempuh.

Menurut rakan mangsa, Mohammad Rizuan Ahmad, 38, berkata selepas rakannya dilanggar, peserta larian lain segera menghubungi penganjur dan membawanya ke tapak permulaan larian sebelum dihantar ke HKL.

“Akibat kejadian ini, rakan saya cedera di kepala, lebam tangan kiri, patah tulang pinggul dan paha kiri,” katanya ketika dihubungi tadi.

Mohammad Rizuan berkata, rakannya itu juga sudah dipindahkan ke Hospital KPJ Seremban jam 4.15 petang tadi dan akan dibedah, Rabu ini.

“Saya sudah meminta isterinya membuat laporan polis selepas selesai urusan memindahkan suaminya ke hospital kerana mereka menetap di Senawang, Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, siasatan mendapati pemandu kereta terbabit datang dari arah Ampang menghala ke Gombak sebelum hilang kawalan dan melanggar mangsa.

“Ketika kejadian, mangsa sedang menyertai pertandingan larian dari arah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) menghala ke Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

“Lorong kiri sebenarnya sudah ditutup sepenuhnya untuk kenderaan bagi memberi laluan kepada peserta dengan kon ditempatkan di tengah jalan antara lorong kiri dan kanan,” katanya.

Azman Shari’at berkata, polis sedang mengesan pemandu kereta bernombor pendaftaran VK8854 selepas pemiliknya memaklumkan menyewakan keretanya kepada sebuah agensi kereta sewa.

“Usaha mengesan pemandu wanita berkenaan sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sebarang maklumat dan saksi bebas boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim ditalian 012-440 1093 ,” katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2019 @ 10:59pm
d