utama

Dua vokalis 'telan kaset'

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

SEPERTI telan kaset. Itu perumpaan yang dapat diberikan kepada Mamat dan Ezad ketika mereka menjayakan konsert Exists Reunion di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor, malam kelmarin.

Gandingan mantap dua vokalis asal kumpulan itu memukau lebih 4,500 peminat dalam persembahan pertama yang mengumpulkan semua anggotanya.

Konsert yang dibawakan Shiraz Project Sdn Bhd menyaksikan peminat Exists mula membanjiri perkarangan stadium seawal 5.30 petang biarpun persembahan bermula jam 9 malam.

Hujan tidak menjadi penghalang untuk peminat menyaksikan persembahan yang ditunggu-tunggu selepas 28 tahun kumpulan itu ditubuhkan.

Detik 9 malam menjadi sejarah apabila Ezad dan Mamat muncul di pentas disusuli Musa (bass), Along (gitar), Ajai (keyboard), Shah (gitar) dan Ujang (dram).

Tepukan gemuruh diberikan kepada semua anggota kumpulan itu dan bagi peminat, tujuh lelaki terbabit individu penting yang mewarnai suka duka Exists sejak 1991.

Mamat yang memulakan persembahan bertenaga melalui lagu Anugerah, Sebelum Terlewat dan Nota di Lautan Sepi menerima sokongan peminat biarpun dia sebelum ini dikaitkan kontoversi kes dadah.

Biarpun sudah berusia 41 tahun, vokal yang dilontarkan Mamat sememangnya berkualiti sehingga ada peminat melabelkannya seperti telan kaset.

Ezad yang menyertai Exists pada 1996 terus menghiburkan peminat dengan mendendangkan lagu Janji Padamu, Roller Coaster, Benih Adam, Percayakan Siti dan Kapal Terbang Kertas.

Suasana di stadium itu semakin gamat apabila Ezad mempersembahkan lagu hit Exists antaranya Bunga, Seperti Dulu, Masih Terserlah Ayumu dan Dirantai Digelangi Rindu.

Tidak ketinggalan, peminat turut bersama-sama menyanyikan lagu Exists melalui lirik lagu yang disediakan di bawah dan di atas pentas.

Sokongan demi sokongan disusuli tepukan dan nyalaan lampu pada telefon bimbit diberikan penonton sebaik Mamat mendendangkan lagu popularnya Untukmu Ibu.

Mamat turut menyampaikan lagu trek pertama daripada album pertama band itu, Exist iaitu Hidupan Fantasi yang dihasilkan pada 1991.

Dalam pada itu lagu baharu Exists berjudul Tak Berakhir nyanyian bersama Ezad dan Mamat turut dilancarkan yang berkisar mengenai persahabatan disatukan biarpun masa berlalu pergi.

Persembahan tidak terhenti di situ sebaik Ezad mempersembahkan pula lagu Mama Tolong Percaya, Jangan Gentar, Hani Lempengnya Hangus, Julia dan Mengintai Dari Tirai Kamar.

Ternyata, setiap bait lirik yang dilontarkan disambut peminat tempatan dan dari Indonesia yang turut hadir memberikan sokongan.

Konsert itu mencapai kemuncak apabila Mamat dan Exists masing-masing menyampaikan empat lagu terakhir iaitu Langkah Seiringan, Jesnita, Rahsia Pohon Cemara dan Alasanmu.

Konsert yang berakhir 11.20 malam itu menerima pujian peminat yang menyifatkan lagu nyanyian Exists mekar sepanjang zaman.

Konsert itu juga melepaskan kerinduan terhadap anggota asal Exists.

Sementara itu, Ajai menghargai sokongan ribuan peminat yang hadir memeriahkan konsert berkenaan.

Katanya, peminat mereka berkumpul bagi mengembalikan semula nostalgia Exists biarpun diharungi suka dan duka.

“Konsert Exists Reunion perlu dikekalkan kerana ia memiliki nilai yang tinggi antara kami.

“Tanpa sokongan peminat, kami bukan sesiapa,” katanya.

Sebaik berakhirnya Exists Reunion, kumpulan itu akan mengadakan persembahan di The Theatre at Media Corp, Singapura pada 5 Oktober ini.

Disiarkan pada: September 30, 2019 @ 5:15am
d