utama

'Dalam surat cakap lain...'

Oleh Firdaus Hashim

“TOLAK atau tidak? Dia kata ditolak terus... tapi mengapa dalam surat, kami diberi tempoh sampai 4 Oktober untuk buat rayuan.”

Itu persoalan yang ditimbulkan Timbalan Setiausaha Kehormat PKNP FC, Mohamed Helmi Mohamed yang hairan dengan keputusan mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menolak terus permohonan pasukan itu untuk mendapatkan lesen kelab kebangsaan musim depan.

Katanya, kenyataan sebegitu tidak sepatutnya dikeluarkan ketika FAM sendiri memberi PKNP masa untuk membuat rayuan dan perlu menyerahkannya sebelum jam 5 petang, 4 Oktober ini.

“Kami pun tak faham dalam sidang media dan kenyataan media FAM menyebut kami ditolak terus. Sedangkan dalam surat yang kami terima menyatakan masih lagi berpeluang sehingga 4 Oktober dan tarikh itu pun belum tiba lagi.

“Kami akan hantar sebelum tarikh itu dan kemungkinan Isnin ini (hari ini) kita akan hantar. Sama ada terima atau tidak terpulang kepada mereka sebab kami tetap akan main dalam Liga Perdana musim depan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Jelas Helmi lagi, perkara yang lebih pelik adalah keputusan FAM untuk menurunkan mereka beraksi di Liga Perdana sedangkan kelab itu secara merit memang akan beraksi di saingan kedua liga tempatan itu.

Ia susulan skuad kendalian Abu Bakar Fadzim sekadar menamatkan kempen Liga Super di tangga ke-11 musim ini, sekali gus tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

“Pelik juga kenapa nak tolak kami main Liga Perdana disebabkan oleh kelewatan menyiapkan dokumen pelesenan sedangkan kami memang akan main di liga itu musim depan.

“Tak timbul isu pasal PKNP, sepatutnya tumpuan perlu terarah kepada PKNS FC dan Melaka United kerana mereka menamatkan Liga Super di kedudukan 10 teratas dan kalau tak lengkapkan dokumen merekalah calon ke Liga Perdana.

“Atau mungkin FAM nak tawarkan kami ke Liga Super musim depan? Kalau betul, kami tak terima pun apa-apa surat tawaran daripada mereka,” katanya.

Ujarnya lagi, kelewatan PKNP dalam menyediakan dokumen yang dikehendaki FAM berlaku disebabkan dua faktor iaitu masalah stadium dan proses audit kewangan yang kini di peringkat akhir.

“Dokumen yang sangkut ialah pasal stadium sebab kami gunakan pihak ketiga untuk dapatkan venue (Stadium Mini Manjung) dan satu lagi pasal audit yang ketika ini dalam proses akhir kemas kini,” katanya.

Jumaat lalu, FIB mendedahkan 21 pasukan Liga-M tidak melengkapkan lesen kelab kebangsaan dan AFC dengan PKNP FC muncul kelab pertama yang ditolak permohonan ekoran kegagalan melengkapkan borang hingga dikenakan hukuman turun ke Liga Perdana musim depan.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menganggap PKNP keliru dengan proses membabitkan masalah bola sepak di negara ini.

“Keputusan menolak penyertaan PKNP di Liga Super dibuat FIB, tetapi pada masa sama, kami membenarkan mereka untuk merayu. Ini proses biasa. Sebagai contoh, jika seseorang dijatuhkan hukuman oleh Jawatankuasa Disiplin, mereka masih boleh merayu kepada Jawatankuasa Rayuan.

“Mungkin PKNP tidak proses dan perkataan yang kita gunakan dalam surat itu adalah ayat biasa dalam pengurusan bola sepak,” katanya.

Disiarkan pada: September 30, 2019 @ 6:30am
d