utama

Sesalan penganggur ke tali gantung [METROTV]

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

PENGANGGUR dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu, hari ini terhadap pertuduhan mengedar dadah, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed memutuskan demikian selepas tertuduh, Ahmad Faisal Embong, 31, dari Kampung Che Lijah, Dungun didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan keputusan itu turut mengambil kira faktor kepentingan awam.

Ahmad Faisal memakai baju-T dan seluar kelabu pada awalnya kelihatan tenang dalam kandang tertuduh, mula gelisah selepas mendengar hujahan itu dan beberapa kali menoleh ke arah ahli keluarganya yang hadir sama.

Dia juga dilihat mengusap muka beberapa kali, manakala ahli keluarganya menangis sebaik keluar dari kamar mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad Faisal didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 16.51 gram (g) pada 1.30 petang, 15 Ogos 2017 di tepi jalan di Kampung Balik Bukit Seberang Pintasan, Dungun.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa dengan dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 12(2) akta sama, iaitu memiliki masing-masing dadah jenis Methamphetamine seberat 4.55g dan Nimetazepam seberat 0.57g di lokasi, tarikh dan masa sama.

Abdul Wahab menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 15 Ogos 2017 dan memerintahkan hukuman berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud dan Amer Abu Bakar Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Ozier Farhan Mohd Khanafeh.

Disiarkan pada: September 30, 2019 @ 4:25pm
d