utama

Pengalaman kekasih jadi rujukan

Oleh Syanty Octavia Amry

BERGELAR kekasih kepada pelakon terkenal, Syafiq Kyle bukan tiket mudah untuk Mimi Lana mengecapi populariti.

Sebaliknya, pelakon berusia 24 tahun itu sentiasa berusaha memastikan dia mampu berdiri setaraf kekasihnya menerusi usaha dan kerja keras sendiri.

Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin berkata, selama empat tahun menjalin cinta tidak pernah sekali pun terlintas di hati untuk mengambil kesempatan.

Apatah lagi menumpang nama dan populariti yang dimiliki Syafiq ketika ini.

“Saya tidak pernah terfikir menumpang populariti Syafiq tetapi pengalaman yang dia miliki saya ambil untuk dijadikan rujukan.

“Tidak dinafikan Syafiq paling banyak memberikan sokongan dan tunjuk ajar selama ini.

“Bagi saya sokongannya itu sudah cukup untuk dijadikan pembakar semangat agar terus berjaya dalam bidang ini,” katanya.

Mula bercinta dengan Syafiq selepas sama-sama terbabit dalam sebuah drama empat tahun lalu, Mimi mengelak bergandingan lagi dengan kekasihnya itu selepas ini.

Baginya, jika dia mampu memberikan lakonan yang lebih baik untuk watak lain, jadi mengapa perlu untuk digandingkan sebagai pasangan kekasih?

“Sebenarnya saya rasa lebih mudah apabila kami digandingkan dalam satu cerita dengan watak sebagai kawan atau adik-beradik sahaja.

“Mungkin peminat mengharapkan kami digandingkan sebagai kekasih ini terlalu banyak menonton drama dan membayangkan hubungan kami seperti kisah cinta dongeng.

“Hakikatnya tidak wujud pun hubungan seperti itu dan kami hanyalah pasangan biasa seperti pasangan lain,” katanya.

Mengulas perkembangan hubungannya dengan Syafiq, Mimi berkata, masing-masing masih muda dan banyak lagi perkara yang mahu dikejar.

“Kami melalui hubungan seperti biasa dan masing-masing menyokong untuk membina karier terlebih dahulu.

“Saya pun masih muda begitu juga dengan Syafiq, jadi biarlah buat masa ini

fokus kukuhkan kerjaya. Perancangan ke arah perkahwinan lambat lagi untuk difikirkan,” katanya.

Teruja berlakon filem

Hampir enam tahun terbabit dalam bidang lakonan, Mimi teruja apabila pertama kali diberi peluang membintangi filem.

Menerusi filem Pusaka yang bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 31 Oktober ini, Mimi digandingkan bersama Syafiq sebagai pasangan kembar.

Membawakan watak sebagai Nur Ishak, Mimi juga gembira apabila berpeluang berlakon di bawah pengarah kegemarannya iaitu Razaisyam Rashid.

“Syukur, saya diberi peluang berlakon di bawah pengarah hebat, pelakon hebat dan jalan cerita filem ini juga menarik.

“Walaupun ini filem pertama, saya berpuas hati dengan komitmen yang sudah diberikan.

“Jika ada rezeki berlakon filem lagi saya mahukan watak aksi atau psiko. Sekurang-kurangnya saya dapat pelbagaikan watak.

“Tidaklah orang melihat saya asyik melakonkan watak yang sama sahaja,” katanya.

Peminat jangan risau

Jika dilihat pada fizikal Mimi, gadis tinggi lampai itu tidak pernah berisi. Sejak dulu berat badan Mimi hanya 49 kilogram (kg).

Namun, untuk filem Pusaka dia perlu menurunkan berat badan kepada 43kg bagi mendapatkan bentuk badan kurus semula jadi tanpa teknik solekan.

Bagaimanapun, perkara berkenaan merisaukan peminat sehingga ada yang merayu kepadanya supaya jangan terlalu kurus.

“Alhamdulillah, saya baik-baik saja. Sejak dulu saya memang kurus dan disebabkan tinggi ada peminat melihat saya seperti tidak sihat.

“Jangan risau saya okey. Metabolisme saya tinggi kerana itulah saya susah hendak naikkan berat badan, kalau hendak turun senang saja.

“Selepas tamat penggambaran filem Pusaka, saya sudah dapat kembali berat asal dan dalam usaha untuk naikkan lagi berat badan saya,” katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2019 @ 6:00am
d