utama

Penyewa terjijik

Oleh Zuhainy Zulkiffli

BANGKAI dan rangka haiwan antara yang dijumpai dalam timbunan pakaian terpakai dan barangan lusuh dalam rumah sewa di Flat Bukit Gedong, Bandar Bayan Baru, Bayan Lepas.

Keadaan menjijikkan itu mendapat perhatian warganet selepas tular di media sosial sejak semalam, berikutan sikap penyewa yang sama sekali mengabaikan kebersihan.

Pemilik rumah berkenaan yang mahu dikenali sebagai Lina, 39, berkata, rumah itu disewakan kepada lelaki tempatan sejak tiga tahun lalu dan pada mulanya tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

Memandangkan Lina bekerja di Melaka, wang sewa rumah sebanyak RM350 sebulan itu dilunaskan oleh ibu penyewa kepada ibu Lina yang tinggal di flat sama.

“Wang sewa itu dilunaskan oleh ibu penyewa yang tinggal selang dua rumah daripada rumah berkenaan malah ibu penyewa itu mendakwa anak lelakinya terlalu sibuk berikutan membuat pelbagai kerja.

“Pintu dan tingkap rumah berkenaan sentiasa ditutup seakan tiada penghuni namun tindakan lelaki itu meletakkan pelbagai barangan dan perabot di kaki lima menimbulkan tanda tanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sehingga pada tahun lalu, mereka tidak lagi membayar sewa rumah malah penyewa terbabit diminta berpindah secara baik namun tidak diendahkan.

Lina juga memberi tempoh sehingga akhir 2018 bagi memberi peluang kepada mereka menguruskan proses berpindah.

“Sewa rumah yang tertangguh selama setahun juga kami minta mereka lunaskan mengikut kemampuan termasuk bil utiliti berjumlah lebih RM2,000.

“Kami tidak pernah bertemu dengan penyewa dan semua urusan hanya menerusi ibunya saja, saya juga beberapa kali pulang ke Pulau Pinang bagi meminta penyewa keluar dari rumah itu secara baik,” katanya.

Berikutan keengganan penyewa terbabit, Lina pulang semula ke Pulau Pinang serta membuat laporan polis bagi mendapatkan kunci rumah selain berurusan dengan peguam.

Ketika kunjungannya, Lina berkata, pintu rumah tidak dapat dibuka menyebabkan ia terpaksa dipecahkan.

“Memang terkejut melihat keadaan rumah yang tidak ubah seperti tempat pelupusan sampah dengan bau busuk amat meloyakan.

“Timbunan sampah pula hanya beberapa jengkal sahaja mencecah siling, memang keadaan keseluruhan rumah itu rosak serta tidak dapat diduduki,” katanya.

Lina berkata, kos bagi membaiki rumah terbabit dianggarkan lebih RM30,000 dan kini dia perlu menanggung kos pembersihan termasuk menyewa lori bagi mengangkut sampah.

Dia pernah bertanyakan kepada jiran di flat berkenaan mengenai penyewa terbabit dan mereka mendakwa lelaki berkenaan bersikap bengis dan panas baran, kerana itulah mereka kurang mengambil tahu.

“Pengalaman ini bukan saja menjadi pengajaran kepada orang ramai namun kepada diri sendiri kerana tidak menyediakan dokumen secara hitam putih.

“Memang serik hendak cari penyewa baru dan mungkin kami akan uruskan pada saluran yang betul,” katanya yang juga seorang penjawat awam.

Lina berkata, untuk kerja pembersihan rumah itu selama sembilan hari dia terpaksa mengeluarkan wang berjumlah RM5,550 dan kos terbabit termasuk sewa lori untuk membuang sampah.

Gambar dan video keadaan rumah terbabit ditularkan adiknya yang mahu dikenali sebagai Hasrul, 32, dan kini proses membersihkan rumah terbabit yang dilakukan empat rakan sudah memasuki hari kesembilan.

Seorang daripada rakannya, Saiful Al Muddin Md Isa, 37, berkata, proses pembersihan itu sepatutnya sudah dijalankan pada Aidilfitri lalu namun tergendala berikutan komitmen pekerjaan serta tiada kenderaan bagi memunggah sampah dari rumah terbabit.

Katanya, penyewa dipercayai menjadikan rumah terbabit sebagai tempat menyimpan barangan terpakai dan ia boleh dilihat menerusi timbunan pakaian, perabot, barangan elektrik, besi buruk dan kayu.

Disiarkan pada: October 1, 2019 @ 6:40pm
d