utama

'Kalau boleh nak berlakon pula' - Fieya

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

BARANGKALI peminat sebelum ini hanya kenal Fieya Julia menerusi single pertamanya berjudul Perasaanku yang kerap dimainkan di radio.

Penyertaan penyanyi bernama sebenar Nur Syafiyah Sejali dalam program Big Stage musim kedua, ternyata berjaya memperkenalkan diri dan karakternya kepada peminat.

Bagaimanapun, tiada rezeki buat penyanyi berusia 19 tahun ini untuk ke pentas akhir pada Ahad ini apabila ditunjukkan jalan keluar pada episod separuh akhir minggu lalu.

“Saya tak rasa sedih atau terkilan kerana gagal ke pentas akhir bersama peserta lain.

“Malah saya sendiri tak sangka dapat ke separuh akhir. Itu pun dah cukup bersyukur kerana dapat capai lebih daripada sasaran.

“Yang pasti selepas ini saya berharap akan dapat banyak tawaran menyanyi,” katanya.

Menurut Fieya yang akan meneruskan promosi dua singlenya berjudul Seperti Ini dan Jangan Gila, banyak pembelajaran yang diperolehnya menerusi program itu.

“Sebelum ini saya hanya tahu menyanyi saja apabila banyak buat cover version di YouTube dan Instagram.

“Saya memang tak pernah belajar vokal dan masuk industri tanpa apa-apa ilmu.

“Apabila menyertai Big Stage, banyak benda baharu saya belajar antaranya lontaran vokal yang betul, cara nak bermain dengan pentas, berkomunikasi dengan peminat dan media,” katanya.

Tanpa berselindung, Fieya meluahkan keinginan menceburi bidang lain seperti lakonan jika dibukakan peluang.

“Diharapkan peminat akan terus sokong saya selepas ini. Mereka sekarang dah tahu kelebihan dan kekurangan saya.

“Pengikut di Instagram pun semakin bertambah sekali gus memberikan kelebihan buat saya untuk kekal dalam industri.

“Sebelum ini saya hanya menyanyi di Sarawak sahaja. Syukur kerana Aries Music melamar saya tahun lalu,” katanya.

Anak bongsu daripada tiga beradik ini mula menyanyi pada usia 11 tahun dan pernah menyertai Bintang Kecil RTM Peringkat Negeri Sarawak pada 2010.

“Saya mula belajar main gitar ketika berusia 12 tahun dan ketika di tingkatan satu, barulah berjinak-jinak buat cover version di YouTube dan Instagram.

“Tujuan saya jadi penyanyi adalah untuk cari rezeki dan ubah nasib keluarga.

“Ibu meninggal dunia pada 2004 akibat barah. Kakak sulung saya orang kurang upaya (OKU) dijaga oleh ayah yang dah bersara daripada tentera,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana abangnya, seorang anggota polis yang bertugas di Labuan, membantu menyara keluarga.

“Saya sekarang fokus cari duit untuk keperluan sendiri dan keluarga. Sekarang saya tinggal sendiri dan kalau ada rezeki lebih nak ajak keluarga tinggal bersama.

“Ikutkan ayah suruh saya sambung belajar tapi jiwa lebih meminati muzik,” katanya.

Fieya mengakui hasil pendapatan daripada nyanyian di YouTube digunakan sebagai bekalan di Kuala Lumpur.

“Saya berdikari datang ke ibu kota sendirian. Ayah mulanya memang risau nak lepaskan saya.

“Tapi apabila tengok saya nekad sangat nak pergi, dia relakan dan bagi sokongan penuh.

“Alhamdulillah, dia pun tak sangka saya boleh sampai ke tahap ini dan sangat bersyukur dengan kerjaya sekarang,” katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 5:30am
d