utama

Tunggu masa berkubur...

Oleh Syazwan Msar

KUALA LUMPUR: Dua pasukan daripada Liga M3 hanya menunggu masa untuk berkubur apabila masing-masing menghadapi masalah kewangan kronik hingga tidak mampu membayar gaji pemain sejak beberapa bulan lalu.

Malah, pasukan berkenaan iaitu Tun Razak FC dan Batu Dua FC sudah menyatakan pendirian kemungkinan saingan musim ini menjadi medan terakhir dalam kancah Liga M3 apabila mahu mengangkat bendera putih daripada meneruskan saingan.

Pasukan yang bakal menemui noktah itu bukanlah calang-calang, malah layak ke pusingan kedua Piala FA sehingga hampir mengejutkan saingan mereka daripada Liga Super dan Perdana.

Menurut Pengurus Batu Dua FC, Hairil Azri Abu Hassan, pasukan itu semakin tenat dan terpaksa mengharungi saingan dengan 12 pemain saja sekali gus terpaksa merelakan gawang mereka bolos dalam jumlah gol yang banyak.

Status sebagai pasukan yang pernah mencipta rekod menjaringkan jumlah gol paling banyak apabila menang besar 17-1 ke atas Rawang City FC seolah-olah tiada erti apabila mereka kini menjadi mangsa belasahan dalam mengharungi lapan perlawanan lagi.

Malah, baki pemain yang tinggal itu hanya berjuang demi minat semata-mata apabila mereka diberikan elaun kehadiran kira-kira RM150 hingga RM300 untuk setiap perlawanan sekali gus menyaksikan pasukan terbabit berada dalam keadaan terumbang-ambing.

“Kami tidak tahu nasib pada musim depan sama ada mahu meneruskan saingan atau sebaliknya kerana mahu menghabiskan lima baki perlawanan pun sakit dengan pemain masing-masing hanya menerima bayaran insentif,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sementara itu, Pengurus Tun Razak FC, Norsazli Md Zalaluddin berkata, terperangkap dengan janji manis penaja sebelum ini yang mahu menaja RM300,000 sebelum menghilangkan diri menyebabkan pasukan itu berada dalam keadaan ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’.

“Kami sekarang seperti pasukan yang bermain untuk mengisi masa lapang dengan mengumpul pemain dalam kalangan mereka yang mahu beraksi bersama Tun Razak FC.

“Boleh dikatakan Tun Razak FC selangkah untuk bungkus pada musim depan apabila sudah tidak berdaya lagi meneruskan saingan dengan keadaan sekarang ini yang kekurangan dana,” katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 5:40am
d