utama

'Selamat tinggal bidadariku, anak syurga kami' [VIDEO]

Oleh Alias Abd Rani

PADA 29 September lalu, Izwanizam Hermawan sepatutnya bergelar bapa malah riak wajahnya terpancar kegembiraan kerana tidak sabar menanti ahli keluarga baru yang bakal menjadi penyeri hidup dia dan arwah isteri, Norsyafiqah Syazwani Mohammad.

Segala persiapan sudah dibuat untuk menyambut kelahiran anak pertama hasil perkongsian hidup dengan arwah namun segala-galanya sudah tertulis apabila kedua-duanya dipanggil mengadap pencipta-Nya.

Isterinya, Norsyafiqah Syazwani Mohammad, 23, meninggal dunia akibat sesak nafas ketika bersalin dua hari selepas melahirkan anak sulung mereka 29 September lalu.

Berita sedih itu dikongsikan pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) Mohd Hirwan Aiyub ketika menguruskan isteri Izwanizam yang meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaa’far Seremban, semalam.

Katanya, maklumat diterima, anak lelaki Izwanizam hanya sempat melihat dunia 10 minit sebelum disahkan meninggal dunia dan kematiannya dipercayai akibat si ibu tiba-tiba sesak nafas ketika bersedia untuk melahirkannya.

Menurutnya, akibat sesak nafas itu, bayi terbabit lemas kerana tidak cukup bantuan oksigen dalam perut.

“Usaha menyelamatkan wanita itu gagal dan dia turut disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Hirwan berkata, sebelum itu, lelaki terbabit pulang ke kampung mereka di Jengka 2, Pahang untuk menguruskan jenazah anaknya manakala isteri bertarung nyawa dan koma di hospital.

Katanya, dia menerima panggilan daripada suami arwah 6 pagi Ahad lalu bagi meminta bantuan menguruskan dan membawa jenazah pulang untuk dikebumikan di kampung mereka.

Sebelum itu, Mohd Hirwan atau lebih dikenali sebagai Wan Cai berkongsi pengalaman itu menerusi Facebook Mr Wan Cai Official dan menganggap ia kisah paling menyedihkan sepanjang terbabit dalam khidmat menguruskan jenazah.

Katanya, dia juga terjumpa status yang sempat dikongsi arwah berkenaan risiko meninggal dunia ketika bersalin.

“Status itu bertarikh 28 Julai lalu iaitu hampir dua bulan sebelum arwah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Izwanizam turut memuatnaik status dalam Facebook miliknya susulan kehilangan dua insan tersayang sekelip mata.

Status berkenaan ialah, ‘Harini 2 Oktober 2019...genap 11 bulan kita diijabkabulkan menjadi suami isteri sayang...dan harini hari pertama saya tanpa awak...terima kasih utk 11 bulan yg indah ni.”

“Alhamdulillah...jenazah isteri selamat dikebumikan di Jengka 2 Pahang, berdekatan dgn anak syurga kami...terima kasih kepada Mr Wan Cai Official kerana membantu saya pada kali ini dgn merealisasikan wasiat isteri untuk diuruskan oleh team #ukvj.

“Walaupun dalam keadaan berseloroh, saya tunaikan permintaan awak sayang...dengan ini tamat sudah percintaan dunia kami..yg kami lalui bersama selama ini..yang tinggal cuma kenangan dan memori...yg sentiasa terpahat di dalam hati....bersemadilah dgn tenang wahai bidadari...semoga kita bertemu di akhirat pasti...#notOneButTwo

Itu antara coretan Izwanizam selepas kehilangan dua insan tersayang.

Beberapa kenalan serta netizen memberi kata-kata semangat kepadanya supaya melalui peristiwa itu dengan tabah serta kuat.

https://www.facebook.com/my.life.is.my.rules.kehidupan.dan.kematian/vide...

Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 8:30pm
d