utama

Cabaran terbaharu Sweet

Oleh Syanty Octavia Amry

FIZIKAL Sweet Qismina yang kecil kadang-kadang membuatkan ramai kurang yakin dengan kemampuannya mempelbagaikan watak dalam lakonan.

Malah, kejayaannya meraih trofi Artis Baharu Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2016 menjadi pertikaian banyak pihak.

Tidak mahu perkara itu terus menjadi pertikaian dan sekadar cakap kosong, pelakon berusia 22 tahun ini mencabar diri menjayakan watak kembar dalam filem terbaharu lakonannya bertajuk Pusaka.

Sweet berkata, tidak dinafikan fizikal yang kecil kadang-kadang agak sukar untuknya memegang watak utama sebagai isteri atau kekasih.

“Melakonkan watak pasangan kembar dalam filem Pusaka satu cabaran besar terbaharu buat saya.

“Boleh dikatakan watak saya penghidup jalan cerita dan besar impaknya yang akan buat penonton ingat.

“Saya berpuas hati dan berharap watak ini dapat membuka mata orang ramai kemampuan bawa apa sahaja watak,” katanya.

Pusaka bakal ditayangkan di pawagam seluruh tanah air pada 31 Oktober ini.

Selain Sweet, filem genre seram itu turut membariskan ramai bintang hebat iaitu Syafiq Kyle, Mimi Lana dan Fauziah Ahmad Daud.

Dalam pada itu, Sweet yang meletakkan sasaran untuk menjadi pelakon versatil berkata, jika umur panjang dan dapat berlakon sehingga tua dia mahu lari daripada watak biasa serta melakukan sesuatu yang berbeza.

“Setiap orang punya sasaran dalam mencapai sesuatu. Bagi saya, dapat peluang berlakon pelbagai watak adalah salah satu pencapaian yang berjaya saya lakukan.

“Kalau boleh jika diberi peluang sampai tua saya mahu terus berlakon dan berkarya.

“Saya yakin sepanjang waktu itu saya dapat melakonkan watak yang berbeza dan mencabar kredibiliti sebagai pelakon yang tidak tertumpu hanya pada satu watak,” katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2019 @ 5:20am
d