utama

Tampal setem palsu

Oleh Skuad Khas Harian Metro

DENGKIL: Walaupun sudah beberapa kali dirampas, namun pemilik kilang syarikat berdaftar beroperasi di utara tanah air dipercayai mengulangi kesalahan sama apabila jenama rokok menggunakan setem cukai palsu keluaran syarikat itu masih dijual di pasaran tempatan.

Dalam operasi khas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) menerusi Op Tampal terhadap penjualan rokok menggunakan setem cukai palsu sekitar Lembah Klang dan utara, jenama rokok keluaran syarikat berkenaan antara yang dirampas.

Operasi selama dua minggu bermula 22 September lalu itu berhasil melumpuhkan dua sindiket apabila seramai 17 suspek warga tempatan dipercayai anggota sindiket itu ditahan pegawai JKDM yang turut disertai Unit Siasatan Dalaman (USD).

Suspek berusia antara 30 hingga 50-an itu ditahan di beberapa lokasi zon tengah antaranya di Kuala Lumpur, Klang, Damansara dan Rawang serta zon utara di Perak dan Pulau Pinang.

Ketika sidang media di sini, semalam, Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Paddy Abdul Halim turut menunjukkan beberapa jenama rokok menggunakan setem cukai palsu.

Beliau berkata, rampasan dalam serbuan Op Tampal itu membabitkan 22 juta batang rokok putih dan 26,200 batang rokok kretek bersetem cukai palsu dianggarkan bernilai RM2.2 juta dan duti/cukai RM14.76 juta.

“Sebanyak 15 van disyaki terbabit digunakan sindiket turut disita. Op Tampal dilaksanakan untuk mencegah kegiatan menjual rokok menggunakan setem cukai palsu daripada terus berleluasa.

“Mudah sebenarnya orang ramai nak bantu. Harga rokok sepatutnya tidak dijual bawah RM10. Jika dijual bawah harga itu bermaksud ia kemungkinan adalah rokok seludup atau rokok menggunakan setem cukai palsu.

“Difahamkan, terdapat rokok dijual itu semurah RM5,” katanya dalam sidang media di Pejabat Kastam di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Azimah Abdul Hamid dan Penolong Ketua Pengarah Kastam Penguatkuasaan Datuk Abd Latif Abd Kadir.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kartel berselindung di sebalik setem cukai palsu mengaut keuntungan mudah hasil jualan rokok itu sebelum memasarkan rokok seludup dan tidak bercukai kononnya secara sah.

Untuk rekod, setem cukai palsu yang hampir menyamai setem cukai dikeluarkan JKDM sukar dikenal pasti orang awam kerana ketulenannya hanya boleh dikesan menggunakan alat SM45.

Paddy berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada rokok bersetem palsu dijual di pasaran itu diseludup dari luar negara atau beroperasi di dalam negara.

Menurutnya, siasatan dilakukan segenap aspek termasuk kemungkinan pembabitan ‘orang dalam’ yang bersekongkol dengan sindiket selain pihak luar.

“Selain itu, kami akan tukar beberapa aspek rekaan setem cukai pada masa akan datang yang lebih mantap dari segi ciri keselamatan bagi membendung isu ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, terdapat lebih 200 pemegang lesen pengimportan rokok di negara ini dan dua syarikat pengilangan rokok berdaftar milik tempatan.

“Tindakan terhadap pengilang rokok, kalau terbukti (terbabit sindiket setem cukai palsu) kita akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang,” katanya.

Sementara itu, katanya, dalam tempoh sama, operasi mematahkan sindiket penyeludupan rokok turut dilaksanakan dengan rampasan 1.5 juta batang rokok putih serta 30,200 batang rokok keretek dengan anggaran nilai RM153,000 dan duti cukai RM1.02 juta.

“Enam suspek selain satu lori tiga tan dan lima van juga disita. Nilai keseluruhan rampasan operasi dalam Op Tampal dan tindakan terhadap sindiket penyeludupan rokok tidak sah di zon tengah dan utara ini adalah sebanyak RM18.13 juta.

“Sehingga 1 Oktober lalu, sebanyak 86 akaun bernilai RM16 juta dibekukan mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976.

Katanya lagi, orang ramai digesa membantu pihak Kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun dan lain-lain dengan menyalurkan maklumat di talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam berhampiran.

Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 10:00am
d