utama

Imam maut jatuh flat

Oleh Zaid Salim

IMAM Flat Sri Kolam, Kuala Terengganu, maut selepas terjatuh dari tingkat tiga flat itu, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, mangsa, Muhammad Khaizuran Izzuddin Zulkifli, 26, yang juga bilal di surau flat itu dipercayai tergelincir ketika meniti beranda untuk masuk ke rumah menerusi tingkap dapur berikutan pintu utama berkunci.

Abang mangsa, Mohd Kamarul Izzuan, 32, berkata, ketika kejadian dia baru selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Kijing, Marang selepas melawat ibu saudara.

“Arwah tinggal bersama saya dan ibu di rumah itu. Ketika kejadian, ibu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur menghadiri majlis kenduri kahwin saudara manakala saya pula ada urusan di luar dan keluar rumah kira-kira jam 8 pagi bersama ibu saudara,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Menurutnya, sebelum kejadian, arwah menghubunginya meminta dia pulang kerana mahu keluar membeli makanan.

“Arwah memiliki kunci rumah sendiri tetapi selepas gagal mencari kunci itu, dia menghubungi saya meminta saya pulang segera.

“Dalam perjalanan pulang saya singgah menunaikan solat Jumaat dan selesai solat kira-kira jam 2.30 petang saya terima panggilan dari rakan ibu saudara memberitahu adik terjatuh dari tingkat tiga kediaman kami.

“Sebaik tiba saya mendapati dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Mohd Kamarul berkata, adiknya juga sebelum ini sudah biasa keluar masuk rumah menerusi tingkap dapur sekiranya pintu hadapan berkunci.

“Bagaimanapun, mungkin hari ini sudah tiba ajalnya dan saya tidak pasti sama ada dia terjatuh kerana tergelincir atau terkena sawan kerana dia menghidap penyakit itu.

“Tetapi arwah sudah lama tidak kena sawan dan kali terakhir dua tahun lalu,” katanya.

Mohd Kamarul Izzuan berkata, sebelum kejadian, ada yang mendakwa ternampak arwah membeli makanan di kedai serbaneka 24 jam berhampiran flat.

“Saya percaya kejadian berlaku ketika adiknya meniti untuk masuk ke rumah.

“Makanan yang dia beli dan air soya tergantung pada jeriji pintu hadapan.

“Kebiasaannya makanan itu akan diambilnya selepas dia memasuki rumah sebagaimana yang dia lakukan sebelum ini,” katanya.

Mohd Kamarul Izzuan berkata, jenazah bekas pelajar pondok Repet, Kota Bharu, Kelantan dan ahli jawatan kuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Paya Bunga itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ladang Tok Pelam, malam ini.

Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 9:31pm
d